MOHAMED Salah memasang impian melengkapkan karier gemilangnya di Anfield dengan memecahkan rekod jaringan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain antarabangsa Mesir itu hanya memerlukan dua jaringan lagi untuk melepasi 128 gol milik Robbie Fowler menjelang pertembungan menentang musuh sengit Manchester United, di laman sendiri, tengah malam ini.

Salah gagal mengulangi standard tingginya dalam kempen musim ini apabila sekadar menyumbangkan sembilan gol dalam 24 perlawanan liga buat pasukan kendalian Jurgen Klopp itu.

Sehubungan itu, bekas penyerang Chelsea dan Roma tersebut berharap dia tidak perlu menunggu lama untuk meraikan kejayaan bersejarah berkenaan bersama The Reds.

Ketika ditanya Sky Sports tentang rekod Fowler itu, pemain berusia 30 tahun tersebut berkata: “Rekod ini saya fikir khususnya bagi saya sendiri, ia benar-benar istimewa.

“Saya fikir ketika saya tiba dan selepas musim pertama yang menyaksikan saya meledak 32 gol, saya fikir saya mahu menjadi penjaring terbanyak untuk Liverpool dalam EPL.

"Saya terlintas untuk mengejar rekod ini. Ia merupakan salah satu motivasi buat saya. Setiap hari saya akan bangun dari tidur dengan keinginan memecahkan rekod ini.

"Bagi saya, ia akan menjadi satu pencapaian yang istimewa. Menjadi nombor satu adalah istimewa untuk karier saya di Liverpool. Ia sesuatu yang saya buru." -- Stadium Astro