PUCHONG: Pasukan Monster Vicious mengungguli Kejohanan E-Sukan Malaysia 2023/2024 bagi acara Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dalam pertandingan yang berlangsung di Spacerubix di sini hari ini.

Juara Liga E-Sukan Malaysia (MEL) 2023 itu mengetepikan Todak Legion 3-1 selepas menang dalam tiga daripada lima perlawanan sekali gus meraih hadiah wang tunai RM30,000.

Pasukan yang mewakili Selangor itu dibarisi Muhammad Aiman Mohamad Abas (Aimji), Ed Asyraaf Darwisy Hayy Mohd Farid (Neyun), Muhammad Fath Zikryfikri Ahmad (Zutod), Muhammad Akmal Harith Alias (Igor) dan Mohamad Amar Ahmad Jamalulai (SanMar).

Naib juara Todak Legion yang dibarisi Muhamad Alif Akmal Kamarulzaman (Rival), Ammar Asyraf Abd Rahman (Martzyyyyy), Muhammad Amy Angelo Erwin (Hazelnut), Fareez Edraki Azhair (Tiktokkk), Irfan Syahmi Mohamad Pin (Joyboyy) dan Mohamad Irfan Hakimeee Zamree (Genozz) pula merangkul wang tunai berjumlah RM15,000.

Terdahulu Kelantan yang dibarisi Muhmmad Nor Adham Mohd Nor Azizi (Cytusss ), Syakir Najmi Saidi (Akirr), Wan Muhammad Fawwaz Wan Azhar (Wazz), Muhammad Harith Haikal Mohd Suffian (Met4l), Muhammad Aqeel Irfan Zaidi (AqeelTzy) dan Muhammad Afiq Mohd Nasir (Sya) menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM10,000.

Dalam pada itu, anugerah bagi Most Valuable Player (MVP) dengan hadiah RM5,000 menjadi milik Joyboyy dari pasukan Todak Legion dan gelaran 'Rookie' (RM2,500) diberikan kepada pemain Monster Vicious, Igor.

Kapten pasukan Monster Vicious Muhammad Aiman berkata mereka tidak menyangka mampu memenangi kejohanan itu kerana pasukan Todak Legion merupakan pencabar yang sukar.

"Apatah lagi dua dari pemain kami merupakan ahli baru dalam pasukan kerana menggantikan pemain asal yang sedang beraksi di Kelayakan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL). Kami hanya mempunyai masa yang singkat iaitu tiga hari untuk berlatih.

"Pada perlawanan pertama saya lihat mereka hebat, jadi saya terus tukar strategi untuk pastikan kemenangan, dan ia berhasil," katanya selepas perlawanan.

Kejohanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI) itu bermula pada 15 Jan hingga esok dengan 114 pasukan bersaing.

-- BERNAMA