PETALING JAYA: Pemain kelahiran Colombia Romale Morales tiba di Malaysia enam tahun lepas dengan pelbagai impian, namun menyarung jersi Malaysia tiada dalam jangkaan pemuda berusia 26 tahun itu.

Penyerang naturalisasi baharu skuad Harimau Malaya tersebut merupakan antara 26 pemain disenaraikan oleh Ketua Jurulatih Kim Pan Gon untuk menghadapi Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bulan depan.

Menurut pemain Kuala Lumpur (KL) City FC itu, beliau bersyukur dipanggil Pan Gon dan bertekad untuk membantu pasukan kebangsaan memperoleh keputusan yang baik di Doha.

"Saya sangat teruja dengan peluang ini, ini adalah cabaran baharu dalam kerjaya saya, enam tahun lepas saya tiba di Malaysia dengan pelbagai impian tetapi saya tidak pernah menjangkakan sesuatu seperti ini, ia sesuatu yang hebat dan saya bersyukur untuk peluang ini.

"Saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan dan terus memberi aksi terbaik," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Morales berkata Malaysia ialah sebuah negara yang istimewa untuknya dan beliau tidak teragak-agak untuk menerima panggilan menyertai skuad Harimau Malaya.

"Saya rasa saya adalah sebahagian daripada negara ini kerana saya telah melalui banyak pengalaman di sini...negara ini istimewa buat kami, apabila saya mendapat peluang ini saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya," katanya.

Morales memulakan kariernya di Malaysia bersama PKNS FC dalam saingan Liga Super 2018 sebelum menjulang Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 bersama KL City.

Sementara itu, penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman berterima kasih kepada Pan Gon kerana masih menagih khidmatnya dan berazam menimba seberapa banyak pengalaman di Doha.

Pemain Negeri Sembilan FC itu yang merupakan pemain muda dalam pasukan berkata tiada tekanan baginya memandangkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed merupakan pilihan utama untuk mengawal gawang negara di Doha.

"Ini peluang terbaik untuk dapatkan pengalaman, saya perlu bersedia jika ada apa-apa berlaku dan jika dapat peluang akan bagi terbaik. Bagi saya Syihan penjaga gol nombor satu, jadi tiada apa-apa tekanan sebagai penjaga gol simpanan...ini pengalaman berharga untuk saya," kata pemain berusia 21 tahun itu.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan saingan Kumpulan E di Doha menentang Jordan pada 15 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan membuat perhitungan menentang juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan.

-- BERNAMA