Pelumba Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin, berjaya menduduki tempat kelima dalam saingan Moto2 di Litar Mugello dalam GP Itali.

Perlumbaan yang dilepaskan pada awalnya terpaksa dihentikan tatkala berlaku kemalangan melibatkan Xavi Vierge yang memaksa marsyal melayangkan bendera merah disebabkan kerosakan berlaku terhadap penghadang angin.

Perlumbaan terpaksa dimulakan semula dengan 11 pusingan dan kedudukan ditentukan mengikut keadaan semasa pusingan ketiga perlumbaan.

Hafizh berjaya meletakkan dirinya di tempat ketiga sebaik perlumbaan dimulakan semula.

Namun, ketika perlumbaan berlangsung, Hafizh tidak mampu mengekalkan kedudukannya ketika bersaing dengan jentera lebih pantas ditunggangi Sam Lowes dan Thomas Luthi.

Sementara itu, juara bertahan, Johann Zarco, mengembalikan dirinya dalam perebutan kejuaraan apabila merangkul tempat pertama dengan catatan masa 18 minit 59.391s, hanya dibezakan 0.030 saat dengan Lorenzo Baldassarri yang tidak pernah menjuarai perlumbaan.

Keputusan itu menyaksikan Hafizh berjaya mengutip 11 mata, sekali gus meletakkan dirinya di tempat kelapan dalam senarai perebutan kejuaraan dengan 47 mata.