PENGENDALI The Red Devils, Jose Mourinho memuji usaha jentera pertahanan selepas berjaya memenangi perlawanan 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris ke atas Swansea City, pada Ahad.

Manchester United menurunkan Phil Jones, Ashley Young, Matteo Darmian dan Marcos Rojo di bahagian pertahanan, hanya bolos satu gol selepas Paul Pogba menjaringkan gol sebelum Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol.

"Saya sangat berpuas hati. Pada pendapat saya United memiliki hari yang sangat tenang," jelas Mourinho kepada MUTV.

"Kami berjaya mengawal perlawanan sejak minit pertama perlawanan, pemain-pemain telah memberikan tumpuan dengan baik.

"Saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini, terutama sekali dengan persembahan Ashley Young, yang beraksi di luar posisinya, manakala Phil Jones - seorang pemain yang berani memberitahu 'Saya sudah bersedia' ketika dia masih belum pulih sepenuhnya.

"Saya gembira menyaksikan Marcos bermain tiga perlawanan berturut-turut sebagai pertahanan tengah, Matteo Darmian yang bermain sebagai bek-kiri, pujian harus diberikan kepada jentera pertahanan saya."

Jaringan gol Ibrahimovic menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa sebarang gol dan menyaksikan pemain berusia 35 tahun itu meledak gol ke-400 sepanjang kariernya.

"Dia adalah seorang pemain yang berkualiti, saya gembira dia kembali menjaringkan gol."