KUALA LUMPUR: Team Haq terus mempamerkan aksi cemerlang pada minggu kedua Kejohanan Mobile Legends Bang Bang Professional League Malaysia (MPL MY) Musim ke-12.

Juara MPL MY musim ke-10 itu berjaya mendapat kemenangan ketiga berturut-turut tanpa kalah pada minggu awal kejohanan.

Pada minggu pembukaan, Team Haq telah menewaskan Team Secret dengan skor 2-0 dan juga menewaskan pasukan MPX NSEA dengan skor 2-1.

Manakala pada minggu kedua, Team Haq berjaya mendapatkan kemenangan ke atas pasukan Red Esports, sekali gus mengukuhkan kedudukan Team Haq di tangga kedua carta liga dengan mengumpul lapan mata di belakang  Red Giants Esports yang menduduki tangga pertama dalam carta liga minggu kedua.

Team Haq yang dibarisi oleh Panda (Gold Laner)sebagai kapten pasukan, Garyy (Jungler), Iris (Exp Laner), Nuar(Roamer), Yuraa (Mid Laner) dibimbing oleh jurulatih, Amoux.

"Kemenangan Team Haq ini menunjukkan bahawa kualiti pasukan Team Haq sudah meningkat dengan
kemasukan pemain pemain baharu seperti Iris, Nuar dan juga Yura," ujar pasukan itu dalam satu kenyataan.

Cabaran getir menanti pasukan itu apabila berbaki empat minggu perlawanan menuju ke minggu playoffs pada Oktober depan dan bertemu beberapa pasukan lain yang lebih berpengalaman.

"Perjalanan Team Haq masih lagi panjang untuk ke peringkat playoff kerana perlu mengharungi lagi empat minggu permainan,

"Setakat ini, prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh pemain pemain Team Haq diharapkan dapat mara ke
pusingan playoffs seterusnya berlawan untuk mendapatkan kan slot kejohanan dunia M5 Mobile Legends
World Championship,"ujar kenyataan itu lagi.

Pentas MPL MY Musim ke-12 Regular Season bermula pada 18 Ogos 2023 dan berlangsung selama enam minggu disertai oleh 10 pasukan Mobile Legends Bang Bang terbaik di Malaysia termasuk Team Haq, Todak, Team SMG, HomeBois, Team Lunatix, Selangor Red Giants, Team Secret, MPX NSEA, RSG dan juga Red Esports.

Kesemua 10 pasukan itu akan bertarung dalam Regular Season, dan hanya lapan pasukan teratas layak ke peringkat playoffs pada 5 Oktober sehingga Oktober 2023.

Juara keseluruhan liga akan memenangi wang tunai berjumlah AS$100,000 dan mendapat slot ke kejohanan dunia M5 World Championship di Filipina pada Disember depan.