Pemain kebangsaan dan kapten Johor Darul Takzim, Safiq Rahim nafi wujud pertelingkahan di kalangan pemain kelab sensasi selatan itu.

Ujar pemain berusia 25 tahun ini, menjadi lumrah buat semua pemain merasai kekecewaan apabila mengalami kekalahan tetapi ia tidak menggugat semangat berpasukan.

Akhbar tempatan pada Ahad melaporkan wujud perselisihan faham di kalangan pemain dalam bilik persalinan selepas perlawanan antara Selangor dan Johor Darul Takzim di Shah Alam.

Dalam pertemuan itu, Johor Darul Takzim tewas satu-empat kepada skuad Gergasi Merah.

Aksi hambar Safiq dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini juga dikatakan mendorong kepada rasa kurang senang rakan sepasukan dan peminat.

Malah ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad juga pernah menegur persembahan anak kelahiran Kuala Selangor itu.