KEDAH Darul Aman FC mengumumkan Nafuzi Zain sebagai pengendali pasukan tersebut bagi musim 2023.

Laman Facebook rasmi kelab itu dalam satu kenyataan ringkas mengumumkan perkara tersebut dengan menyifatkan kepulangan semula Nafuzi, 44, ke pangkuan Sang Kenari yang mana beliau pernah bergelar pemain pasukan pada 2002 sehingga 2007.

Satu sidang media rasmi akan diadakan pada pagi Selasa oleh pemilik saham terbesar KDA FC iaitu Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Nafuzi.

Bekas pengendali Terengganu FC itu hadir dengan reputasi baik selepas membantu Sang Penyu muncul naib juara Liga Super 2022, naib juara Piala FA 2022, separuh akhir Piala Malaysia 2022 selain membantu pasukan itu beraksi di pentas Piala AFC musim 2023.

Nafuzi hadir mengantikan Aidil Sharin Sahak bagi membentuk kembali KDA FC yang dilihat prestasi berada pada tahap tidak memberangsangkan musim 2022 apabila sekadar berada di tangga kelapan Liga Super, pusingan 16 Piala Malaysia dan pusingan kedua Piala FA. - Sinar Harian