SERDANG: Persoalan mengenai nasib atlet yang tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) bakal terjawab dalam mesyuarat jawatankuasa penilaian program tersebut Selasa ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa RTG mengesahkan mesyuarat penilaian itu akan berlangsung di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

"Pelbagai kemungkinan ada...jadi kita nantikan mesyuarat jawatankuasa RTG minggu depan (Selasa)," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sini, hari ini.

Hannah pada masa sama mengingatkan tujuan utama RTG adalah bagi memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada dinikmati atlet yang berpotensi menjelmakan emas sulung negara pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Antara atlet yang sudah tersenarai dalam program RTG ialah jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta ratu terjun Datuk Pandelela Rinong.

Dalam pada itu, menteri itu berkata perbincangan pada mesyuarat RTG Selasa ini akan turut menyentuh mengenai hala tuju pemain skuasy negara selepas sukan tersebut bakal membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Projek RTG diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada April lepas dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik meliputi edisi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Sebelum ini, KBS menetapkan dua kriteria utama bagi atlet tersenarai dalam RTG yang berpotensi menyumbang emas pertama negara di Sukan Olimpik adalah pemenang pingat temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

Terdahulu, Hannah telah menyampaikan sijil kepada 3,611 penerima dari ILKBS seluruh Semenanjung yang melibatkan lepasan peringkat sijil, sijil lanjutan, diploma dan diploma lanjutan.

Beliau juga berbangga kadar kebolehpasaran graduan ILKBS yang melebihi 90 peratus buat tiga tahun berturut-turut membuktikan KBS mampu melahirkan tenaga mahir muda bagi mengisi keperluan tenaga mahir dan separa mahir negara.

Hannah pada masa sama berkata KBS akan terus komited memartabatkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memastikan belia kekal berdaya saing dan menjadi pilihan utama majikan.

-- BERNAMA