LUMUT: Penganjur Projek Tongkat: Stand with Palestine yang kini dalam misi jelajahnya dari 18 hingga 26 November, masih terputus hubungan dengan pasukan Bola Sepak Orang Kudung As-Salam FC dari Gaza.

Pengarah projek Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata pasukan itu sepatutnya turut menyertai jelajah berkenaan, namun disebabkan serangan terhadap Gaza, mereka tidak dapat datang ke Malaysia selain gagal dihubungi hingga kini.

Beliau berkata pasukan yang sepatutnya tiba di Malaysia pada 15 November lepas itu turut meninggalkan pesanan yang cukup bermakna buat pihaknya.

"Pray for us brother (doakan kami saudaraku), itulah kata-kata terakhir yang kami terima daripada mereka selepas siri serangan tentera Israel ke bumi Gaza sejak Oktober ... kami tidak tahu sama ada mereka masih hidup atau terkorban dalam peperangan itu, tiada khabar berita daripada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan amal antara pasukan Bola Sepak Orang Kudung Perak dengan pasukan Bola Sepak Orang Kudung Kebangsaan di Padang Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) dekat sini hari ini.

Ahmad Munawwar berkata pihaknya berharap penganjuran jelajah itu dapat membuka mata masyarakat dunia terhadap kekejaman Israel dan membawa mesej bahawa Orang Kurang Upaya (OKU) turut berhak mendapat tempat dalam sukan.

"Kita faham keadaan di sana kerana setiap hari hidup dalam ketakutan, namun kami di sini mengharapkan mereka sentiasa bangkit sepertimana semangat yang ditunjukkan oleh pasukan Bola Sepak Orang Kudung As-Salam FC.

"Pemain negara kita, mereka menjadi kudung akibat kemalangan. Tetapi saudara kita di Gaza kudung disebabkan peperangan sama ada dibom atau ditembak.

"Kami di sini akan sentiasa terus membawa semangat mereka dan kami akan tunjukkan kepada dunia bahawa Projek Tongkat ini membawa misi solidariti kepada rakyat Palestin melalui bola sepak orang kudung ... sukan boleh menyatukan semua, tidak kira agama, bangsa dan negara," katanya.

Projek Tongkat merupakan anjuran bersama beberapa badan bukan kerajaan iaitu BeVital, The Ohana, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dan Pan-Disability Football serta disokong sepenuhnya oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Jelajah yang bermula Sabtu lepas di Johor dan akan berakhir di Putrajaya Ahad ini bertujuan memberi kesedaran mengenai Projek Tongkat dengan memperkenalkan sukan bola sepak kudung kepada individu OKU, di samping mendedahkan kekejaman rejim Israel terhadap penduduk Gaza.

Pada perlawanan hari ini, pasukan Bola Sepak Orang Kudung Perak berjaya menundukkan skuad Bola Sepak Orang Kudung Kebangsaan 7-6 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

-- BERNAMA