PEMNYERANG Paris Saint-Germain, Neymar mahu kembali ke Barcelona, menurut naib presiden kelab Catalan itu.

Bintang Brazil berusia 27 tahun itu dikhabarkan tidak gembira dan masih sukar menyesuaikan diri sejak perpindahan rekod dunia pada musim panas 2017 lalu.

Bagaimanapun menurut Jordi Cardoner, tiada komunikasi dibuat antara pemain itu dengan Barca.

“Apa yang saya percaya ialah Neymar mahu kembali. Tetapi untuk mengatakan kami dalam usaha untuk merekrut (Neymar), adalah sesuatu yang saya tidak setuju.

“Kami tidak merekrut sesiapa pun ketika ini, lebih-lebih lagi pemain ini yang kami tidak berhubung dengannya,” kata Cardoner.

Spekulasi berbangkit tentang ke mana arah tuju penyerang sensasi sekiranya dia mahu meninggalkan Paris, dan Cardoner ditanya tentang hal itu dalam satu sidang media pada Khamis.

Beliau tidak terkejut dengan khabar itu, kerana sudah banyak kali berlaku sebelum ini apabila bekas pemain Barca mahu kembali setelah beberapa musim meninggalkan Nou Camp.

“Kami dalam proses pelepasan, tempoh masa yang akan berakhir pada 30 haribulan ini.

“Neymar seorang pemain yang hebat, tetapi keadaan bagaimana dia meninggalkan kelab dahulu perlu diambil kira sebelum kepulangannya boleh menjadi realiti,” jelas Cardoner.

Neymar berhijrah ke PSG pada 2017 selepas empat tahun gemilang bersama Barca dengan yuran perpindahan termahal ketika itu, 220 juta euro (200 juta pound).

Kehadirannya telah membantu PSG menjuarai Ligue 1 dua kali berturut-turut dan menjaringkan 34 gol dalam 36 penampilan liga, bagaimanapun tempoh khidmatnya di Parc de Princes telah dicemari insiden konfrontasi dalam bilik persalinan dan beberapa penggantungan kerana menyerang penyokong serta mencemuh pengadil.

Menurut laporan media Sepanyol, dia ditawarkan pemotongan gaji sebanyak 12 juta euro setahun untuk membolehkannya kembali ke Barca.

Setakat ini Barca telah mengikat pemain muda Belanda Frenkie de Jong dengan perjanjian bernilai 75 juta Euro dari Ajax Amsterdam, sementara Antoine Griezmann dikatakan bakal menyertai Messi & Co. dari Atletico Madrid pada harga 120 juta euro.