NICKY HAYDEN akan membuat penampilan semula di pentas MotoGP di Aragon minggu ini sebagai pengganti Jack Miller yang mengalami kecederaan.

Hayden, yang telah mengumumkan persaraannya Oktober lalu, terpaksa mengetepikan aksi Kejohanan Dunia Superbike untuk berlumba dengan pasukan Honda.

Juara MotoGP 2006 itu bakal menunggang Honda RC213V di Litar Motorland Aragon menggantikan Miller, yang masih dalam proses pemulihan kecederaan yang dialami di Red Bull Ring, Austria pada bulan lalu.

Penunggang dari Australia, Miller, terlepas pusingan ke-14 di Sepanyol selepas mendedahkan dia beraksi dalam keadaan cedera di bahagian tangan di San Marino dan di Silverstone.

"Pertama sekali, saya mengucapkan semoga cepat sembuh buat Miller. Saya berharap supaya dia segera pulih dan kembali menjalani perlumbaan untuk mempamerkan potensi yang dimilikinya," kata Hayden.

"Menggantikan Miller merupakan peluang saya untuk kembali merasakan keseronokan berlumba dalam MotoGP.

"Saya menyedari perlumbaan MotoGP adalah sukar, saya masih belum menunggangnya sejak pertukaran jenis tayar dan elektronik tetapi masih mempunyai pengalaman bersaing di pentas ini."