Norza beri lampu hijau Zii Jia jadi pemain profesional

Ridauddin Daud
Januari 25, 2022 11:31 MYT
Perjalanan Zii Jia untuk terus menggegar arena badminton dunia nampak positif selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Mohamad Norza.
KUALA LUMPUR: Selepas negara dikejutkan dengan berita duka membabitkan pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia beberapa hari lepas, minggu ini nampaknya berita gembira pula menerjah halwa telinga rakyat Malaysia.
Ia selepas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah memberikan lampu hijau kepada Zii Jia untuk beraksi sebagai pemain profesional.
"Confirmed (Sah)," kata Mohamad Norza dalam maklum balas ringkasnya kepada Bernama ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai hantaran Zii Jia dalam Facebooknya hari ini.
Terdahulu Zii Jia mendedahkan beliau mengadakan pertemuan dengan Mohamad Norza. Pertemuan tersebut turut melibatkan keluarga pemain nombor tujuh dunia itu.
Menerusi media sosialnya, Zii Jia meluahkan kegembiraannya dengan perkembangan positif itu.
“Saya berbesar hati dapat mengadakan pertemuan peribadi dari hati ke hati dengan Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria bersama ibu bapa saya.
“Saya gembira kerana kami kini menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk menjadi pemain profesional,” tulisnya.
Katanya lagi, beliau akan sentiasa menjadi produk BAM, dulu, kini dan pada masa akan datang.
BACA: Lee Zii Jia hantar surat rayuan kepada BAM
BACA: Semangat Zii Jia untuk badminton negara masih teguh - Ahmad Faizal
“Pencapaian masa lalu dan masa depan saya akan sentiasa menjadi produk Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia.
“Saya sentiasa bersyukur kerana Tan Sri membimbing, mengasuh dan memberi peluang untuk saya berkhidmat kepada negara yang saya cintai.
“Pada masa ini, saya akan komited untuk Kejohanan Berpasukan Asia. Saya harap keputusan ini menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia dan peminat badminton,” ujarnya.
Bahkan, beliau juga menitipkan pesanan agar rakyat Malaysia terus menyokong BAM dan pemain profesional negara yang diasuh BAM kerana menurutnya, pada akhirnya “kita adalah satu”.
Badminton | Tidak daftar Zii Jia untuk pertandingan dua tahun
Astro AWANI sebelum ini melaporkan BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dalam sebarang pertandingan antarabangsa melibatkan negara berkuat kuasa 18 Januari lalu.
Timbalan Presiden 2 BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, penggantungan itu akan berjalan selama dua tahun.
Begitupun, BAM kemudiannya mengesahkan pemain kelahiran Alor Setar itu telah menghantar surat rayuan susulan keputusan yang diputuskan BAM pada 21 Januari lalu.
#Lee Zii Jia #BAM #badminton #Mohamad Norza Zakaria