KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari mengumumkan akan meninggalkan badan induk itu sejurus selepas temasya Olimpik Paris 2024 dijadual 26 Julai hingga 11 Ogos, tahun depan.

Norza menerajui BAM selama enam tahun sejak 2017.

Beliau turut memaklumkan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas temasya sukan Olimpik Los Angeles 2028.

"Saya telah memaklumkan kepada Majlis BAM mengenai hasrat saya untuk berundur diri sejurus selepas Olimpik Paris 2024," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

Norza akan menamatkan penggal kedua sebagai presiden BAM pada 2025 dan Presiden MOM pada 2025 sejak memegang jawatan itu pada 2018.

Beliau mendedahkan bahawa sebab utama mendorongnya berbuat demikian adalah untuk memberikan lebih tumpuan kepada peranannya di peringkat antarabangsa dan kepentingan peribadi lain.

April lalu, Norza dilantik sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BA) penggal 2023-2027 dan kelmarin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk Semua, Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi penggal 2023 hingga 2027.

Justeru, beliau berkata, BAM akan mencari penggantinya untuk menerajui badan induk sukan itu selepas Paris 2024.

"Sebagai sebuah organisasi tersusun, kita memerlukan pelan peralihan kepimpinan,...seseorang tidak boleh keluar secara tiba-tiba kerana tempoh peralihan perlu lancar. Kita bercakap tentang penajaan, struktur, jurulatih, pemain dan ahli majlis, saya rasa satu tahun sudah memadai untuk mengenal pasti calon sesuai.

"Kami perlu mendapatkan calon yang benar-benar boleh membawa BAM ke peringkat seterusnya. Ia bukan tugas mudah kerana kita adalah negara badminton, semua orang fokus kepada apa yang kita lakukan dalam BAM dan sukan badminton," katanya.

Beliau berkata BAM juga akan menjalankan proses yang betul termasuk berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pihak berkepentingan dan penaja dalam usaha mencari penggantinya.

Norza juga berharap pemimpin seterusnya akan mempunyai semangat dan berkongsi visi yang sama untuk memastikan Malaysia muncul sebagai kuasa badminton dunia pada masa hadapan.

Ditanya sama ada beliau berminat untuk menyandang jawatan dalam Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), beliau berharap untuk berada di sana tidak lama lagi.

"Baiklah, kita tunggu dan lihat (jawatan IOC). Sudah tentu sebagai pentadbir, anda mahu menjadi sebahagian daripada organisasi seperti ini, semoga saya akan sampai ke sana satu hari nanti," katanya.

-- BERNAMA