KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria masih relevan untuk memegang tampuk kepimpinan badan induk sukan tersebut.

Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek berpandangan kewibawaan Mohamad Norza dalam membimbing BAM tidak boleh disangkal mana-mana pihak.

"Dengan adanya Mohamad Norza, maka sebab itu tertubuhnya ABM selain peranannya menarik penajaan.

"Cuma yang tiada ketika ini adalah hasil (pemain) tapi atas kewibawaannya saya rasa dia masih relevan lagi. Saya ada beritahunya apa yang dilakukannya sudah betul kerana jika nak hasil jangka pendek tak boleh kerana ia memakan masa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad Norza pada awal bulan ini mengumumkan untuk meletak jawatan sebagai Presiden BAM hujung tahun ini.

Pengumuman tersebut menyaksikan Mohamad Norza akan melepaskan jawatan lebih awal selepas beliau pada bulan lepas berhasrat meninggalkan BAM selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Dalam pada itu, Misbun percaya keputusan bekas 'bos' itu meletak jawatan lebih awal tiada kena mengena dengan kemelut antara beliau dan BAM.

Bagaimanapun, beliau mengakui berasa sedih sekiranya benar konflik beliau dan BAM merupakan faktor yang membawa kepada peletakan jawatan Mohamad Norza.

Selasa lepas, BAM mengesahkan Misbun secara rasmi meninggalkan badan induk sukan itu dan menganggap kemelut antara kedua-dua pihak telah selesai.

Misbun pada 9 Ogos lepas, dilaporkan sudah menghantar surat jawapan berhubung tawaran diberikan BAM, dalam usaha memujuknya kembali susulan penamatan kontrak selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM, bulan lepas.

Sebelum ini, BAM menerusi Jawatankuasa Khas diketuai Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V. Subramaniam, membuat keputusan menamatkan kontrak Misbun berikutan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia 2023 di Yogyakarta, Indonesia, bulan lepas.

-- BERNAMA