PUTRAJAYA: Pemain profesional Dota 2 Malaysia Cheng Jin Xiang atau lebih dikenali sebagai NothingToSay dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah E-Sukan Malaysia 2023.

Jin Xiang, 24, yang kini beraksi bersama pasukan G2.iG turut memenangi kategori Pemain MOBA Terbaik dan Pemain Lelaki Terbaik pada majlis julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Beliau mula menjadi pemain profesional ketika berusia 17 tahun dengan penampilan pertama menerusi kejohanan ROG Masters 2017 yang diadakan di ibu negara.

"... Saya mahu jadi yang terbaik di dunia dan saya akan melakukan yang terbaik. Malaysia Boleh! Terima kasih," katanya menerusi mesej yang dipaparkan pada skrin di majlis berkenaan.

Jin Xiang tidak dapat menghadiri majlis itu kerana sedang menyertai kejohanan di Shanghai, China.

Sementara itu, Anugerah Pencapaian Seumur Hidup diberikan kepada Allahyarham Agusalim Amran atau lebih dikenali sebagai Hahagus, yang pernah mengendali pasukan di Sukan SEA 2019 menerusi acara PUBG Mobile.

Agusalim meninggal dunia pada 2021.

Antara pemenang bagi 16 kategori lain yang dipertandingkan ialah Yoodo Alliance bagi kategori Pasukan Terbaik; HomeBois (Organisasi Terbaik dan Ramona (Pemain Wanita Terbaik).

Acara yang dianjurkan oleh Alive Asia Events Sdn Bhd bersama Esports Integrated (ESI) dan disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan itu bertujuan memberi penghormatan kepada penyumbang industri e-sukan yang sedang berkembang pesat di negara ini.

-- BERNAMA