Kawasan padang Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup selama enam bulan bermula Oktober.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, langkah itu bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilakukan terhadap permukaan padang berkenaan.

"Saya minta mereka (Perbadanan Stadium Malaysia) mulakan kerja baik pulih pada bulan Oktober dan kita akan tutup stadium ini selama 6 bulan.

"Tendernya akan dibuat secepat mungkin dan kita akan lihat berapa lama jangkamasa diperlukan kontraktor untuk kerja-kerja berkenaan," jelas Khairy selepas mengadakan lawatan ke Stadium Nasional pada Khamis.

Beliau turut menghadiri sesi taklimat bersama Perbadanan Stadium Malaysia.

Perbadanan Stadium Malaysia merupakan entiti yang bertanggungjawab terhadap penggunaan dan penyelenggaraan keseluruhan Kompleks Sukan Negara termasuk Stadium Nasional.

Khairy turut menerima cadangan agar segala aktiviti bukan berkaitan dengan sukan tidak lagi diadakan di stadium berkenaan.

Ini kerana beberapa acara seperti konsert dan perhimpunan membabitkan badan-badan kerajaan turut menjejaskan permukaan padang.

Dalam pada itu, Perbadanan Stadium Malaysia masih belum dapat menentukan kos yang bakal diperuntukan bagi kerja-kerja baikpulih itu.

Menurut pengerusinya, Datuk Jamil Salleh, jumlah itu bergantung kepada jenis rumput dan kerja-kerja yang bakal dilaksanakan.

"Kita akan membuat kerja-kerja naik taraf padang ini secara keseluruhan. Bukan sahaja rumput tetapi kerja-kerja asas dan juga pembaikan kawasan persekitarannya," jelas Jamil ketika ditemui media selepas menerima kunjungan Khairy.

Tambah Jamil lagi, tender akan mula dikeluarkan kepada kontraktor selewat-lewatnya penghujung Ogos.

Ketika ini, semua aktiviti di stadium berkenaan akan berjalan seperti biasa.

Stadium Nasional merupakan gelanggang perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim, 29 Jun depan.