PASUKAN Pahang tidak akan menggantikan skuad Lang Merah dalam saingan Piala AFC tahun hadapan, seperti yang digembar-gemburkan.

Akaun media sosial rasmi Pahang FA sebentar tadi memuat naik status memaklumkan perkembangan itu.

Dalam kenyataan tersebut, skuad Tok Gajah memaklumkan ada menerima tawaran rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 9 November lalu.

Namun tawaran itu ditolak atas sebab mahu menumpukan sepenuh perhatian pada saingan liga domestik.


Pahang, selaku naib juara Piala FA, merupakan pasukan paling layak mewakili negara menggantikan pasukan Kedah yang gagal mendapatkan lesen AFC.

Setakat ini, hanya empat pasukan di Malaysia yang memiliki lesen AFC, iaitu JDT, Pahang, Selangor dan PKNS FC.

Dengan perkembangan ini, satu lagi slot pasukan negara mungkin akan diisi sama ada Selangor atau PKNS FC.