Namun apabila gagal memenangi sebarang trofi pada 2015, Pahang seolah-olah seperti kehilangan motivasi bagi hadapi musim baru apabila melepaskan ramai pemain terbaik dimiliki mereka.
Bermula dengan berita pemergian Zainal Abidin Hassan yang lepaskan ikatan bersama Pahang atas faktor tidak mahu berjauhan dengan keluarga, peminat-peminat Tok Gajah terus tersentak apabila lima pemain utama tempatan ucapkan selamat tinggal.
Hafiz Kamal, R. Gopinathan, Khairul Azhan Mohd. Khalid dan Razman Roslan memilh haluan ke Selangor manakala Azamuddin Akil ke Johor DT, satu berita yang dilihat sehingga sekarang ini masih disukar ditelan peminat-peminat Pahang.
Manakala bagi pemain import, hanya Zesh Rehman difahamkan bakal dikekalkan kerana masih ada kontrak berbaki setahun bersama Pahang.
Situasi itu melihatkan hanya beberapa pemain senior seperti Saiful Nizam Miswan(Poyeng), Shahrizan Salleh, Fauzi Roslan, R. Surendran dan Nasril Nourdin kekal memikul cabaran.
Ia diikuti pemain muda sedang meningkat naik iaitu Matthew Davies, D. Saarvindran, Muhd. Nor Azam Abdul Azih, Mohd. Shafie Zahari dan Rizua Shafiqi.
Dengan tiada sebarang pemain dikaitkan akan berpindah ke Pahang selaku pengganti setanding, jelas persiapan juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 itu pada musim depan cukup misteri dan timbulkan begitu banyak persoalan.
Sekadar menaikkan pangkat Ahmad Sharuddin Rosdi daripada penolong jurulatih selaku pengendali baru skuad Tok Gajah, adakah Pahang sudah kekurangan motivasi teruskan legasi?
Sebelum ini sudah kedengaran persiapan Pahang pada 2016 diselubungi banyak masalah apabila kebanyakan pemain dibiarkan begitu sahaja tanpa berbincang apa-apa kontrak baru.
Situasi itu timbulkan sedikit resah dalam kalangan pemain yang mahu berkira-kira soal masa depan lantas buka kesempatan kepada pasukan lain sambar pemain terbaik dimiliki Pahang.
Kegagalan kekalkan sekurang-kurangnya lapan pemain kesebelasan utama pada musim ini umpama satu mimpi ngeri buat Pahang yang pasti berdepan 1001 cabaran pada 2016.
Apakah sebenarnya agenda tersirat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pahang FC, Fahrizal Hassan, yang pernah berkata-kata mahu dapatkan DNA pemain muda membayangkan Pahang mahu lakukan transformasi besar-besaran.
Adakah sudah muak dengan pemain-pemain bintang sedia ada sehingga sanggup korbankan potensi besar yang ada dalam pasukan?
Percaya atau tidak, setakat ini hanya seorang sahaja pemain baharu ditandatangani Pahang iaitu Mohd. Faisal Abdul Halim berusia 17 tahun dari Pulau Pinang.
Mungkinkah Pahang antara calon yang akan berjuang di zon penyingkiran musim depan atau akan ada kejutan pemain baru pada majlis pengumuman pasukan yang dijadualkan 3 Januari depan?