Pakai 'Mankini' tiru watak Borat, tiga penyokong Club Brugge dipenjara di Kazakhstan

Filem berkenaan sebelum ini menimbulkan kemarahan kerajaan Kazakhstan, yang pernah mengehadkan penayangannya serta mengancam tindakan undang-undang kerana menganggap ia mencemarkan imej dan maruah negara.
TIGA penyokong kelab bola sepak Belgium, Club Brugge, yang memakai kostum ‘mankini’ - pakaian renang popular hasil watak satira Borat - dipenjara selama lima hari di Kazakhstan selepas perbuatan mereka dianggap tidak menghormati negara itu.
Ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan di tempat duduk penonton di Astana Arena ketika perlawanan Liga Juara-Juara antara Club Brugge dan Kairat Almaty, apabila mereka mengenakan kostum hijau bercahaya yang nipis, menyerupai pakaian yang dipakai pelakon dan pelawak Britain, Sacha Baron Cohen, dalam filem Borat! Cultural Learnings of America for Make Benefit Glorious Nation of Kazakhstan.
Filem tersebut yang diterbitkan pada 2006 secara satira mempersendakan Kazakhstan dan Amerika Syarikat, sekali gus mencetuskan kontroversi berpanjangan di negara Asia Tengah itu.
Lebih 500 penyokong Club Brugge dilaporkan menempuh perjalanan hampir 6,000 kilometer untuk menyaksikan perlawanan tersebut, namun tindakan tiga individu berkenaan menarik perhatian pihak keselamatan sebelum mereka dibawa keluar dari stadium oleh polis.
“Tiga lelaki itu melakukan perbuatan yang menunjukkan rasa tidak hormat serta mengganggu ketenteraman awam semasa perlawanan bola sepak berlangsung,” menurut kenyataan Polis Astana seperti dipetik media Belgium pada Khamis.
Kenyataan itu memaklumkan pegawai polis menahan ketiga-tiga penyokong asing berkenaan dan membawa mereka ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Polis turut memaklumkan prosiding undang-undang diambil selepas mendapati mereka berada dalam keadaan mabuk dan bertindak agresif. Hukuman penjara lima hari dikenakan ke atas mereka sehari selepas kejadian.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Belgium mengesahkan pihaknya memantau situasi itu dan menawarkan bantuan konsular kepada warganya yang terlibat.
“Kami menyediakan sokongan konsular yang diperlukan kepada rakyat Belgium. Bagaimanapun, atas faktor privasi, tiada maklumat lanjut dapat didedahkan,” menurut kenyataan kementerian itu.
Watak Borat yang dibawakan Baron Cohen sebagai wartawan fiksyen dari bekas negara Soviet terkenal kerana mengeksploitasi stereotaip Barat terhadap Kazakhstan sambil menyindir masyarakat dan sistem politik Amerika Syarikat.
Filem berkenaan sebelum ini menimbulkan kemarahan kerajaan Kazakhstan, yang pernah mengehadkan penayangannya serta mengancam tindakan undang-undang kerana menganggap ia mencemarkan imej dan maruah negara. - Stadium Astro
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


