KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya Kim Pan Gon berdepan tugas sukar apabila kehilangan tiga tonggak utama menjelang baki dua perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.

Tiga pemain itu ialah pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi dan Mohamad Faisal Abdul Halim serta penyerang Romel Morales.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan semalam menyebut ketiga-tiga mereka bersama seorang lagi pemain pertahanan kiri, Muhammad Azam Azmi Murad terpaksa diketepikan daripada dipanggil ke kem latihan pusat pasukan bermula Isnin depan kerana masalah kecederaan.

Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim dilaporkan terpaksa berehat panjang susulan kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lepas.

Pada masa sama penyerang pinjaman Kedah Darul Aman FC Syafiq Ahmad bersama pemain tengah pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) Muhamad Feroz Baharudin kembali dipanggil ke kem kebangsaan.

Mereka antara lapan pemain baharu disenaraikan Pan Gon yang mengekalkan 16 daripada 24 pemain dari skuad terdahulu bagi dua aksi kumpulan menentang Oman, Mac lepas.

Dalam pada itu pertahanan kiri Penang FC Muhammad Adib Abdul Ra'op berpeluang membuat debut antarabangsa apabila turut dipanggil ke kem latihan pusat manakala pemain tengah kacukan Malaysia-Finland Nooa Laine menjadi pemain tunggal Selangor FC yang memperkuatkan pasukan negara kali ini.

Sementara itu FAM turut mengesahkan 22 pemain lagi diletakkan dalam senarai bersedia.

Selepas empat perlawanan, Malaysia yang berada di posisi ketiga Kumpulan D dengan enam mata akan menentang Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun sebelum bertemu Taiwan pada aksi terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini pada 11 Jun.

Kyrgyzstan kini menerajui saingan Kumpulan D diikuti Oman di tempat kedua dengan masing-masing mengumpul sembilan mata.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 11 Jun, sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Pasukan negara memerlukan tiga mata dalam kedua-dua perlawanan terakhir sambil mengharapkan Oman menumpaskan Kyrgyzstan untuk mencerahkan peluang mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 serta melayakkan diri lebih awal ke Piala Asia 2027.


Berikut 26 pemain yang dipanggil Pan Gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin depan:


1.Ahmad Syihan Hazmi MohamedJDT
2.Matthew DaviesJDT
3.Muhamad Feroz BaharudinJDT
4.Shahrul Mohd SaadJDT
5.La'vere Lawrence Corbin-ongJDT
6.Endrick Dos SantosJDT
7.Muhammad Azri Ab GhaniKuala Lumpur City FC
8.Declan LambertKuala Lumpur City FC
9.Brendan GanKuala Lumpur City FC
10.Paulo JosueKuala Lumpur City FC
11.Muhammad Haqimi Azim RosliKuala Lumpur City FC
12.Dominic TanSabah FC
13.Daniel TingSabah FC
14.Stuart WilkinSabah FC
15.Darren LokSabah FC
16.Muhammad Safawi RasidTerengganu FC
17.Muhammad Akhyar Abdul RashidTerengganu FC
18.Safwan MazlanTerengganu FC
19.Engku Muhammad Nur Shakir Engku YacobTerengganu FC
20.Sikh Izhan Nazrel Sikh AzmanPenang FC
21.Mohamed Syamer Kutty AbbaPenang FC
22.Muhammad Adib Abdul Ra'opPenang FC
23.Kalamullah Al-hafiz Mat RowiKedah Darul Aman FC
24.Muhammad Syafiq AhmadKedah Darul Aman FC
25.Nooa Hamzah LaineSelangor FC
26.Dion CoolsBuriram United




-- BERNAMA