PETALING JAYA: Setelah setahun berpindah ke Malaysia selepas dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon meletakkan rating tinggi kepada negara dan rakyat di sini.

Jurulatih berusia 52 tahun dari Korea Selatan yang memulakan tugasnya hampir setahun lepas berkata beliau menyukai negara ini kerana penduduknya baik hati, cuaca bagus dan persekitaran yang mendamaikan, di samping keseronokannya menikmati makanan tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran utama yang perlu dihadapinya ialah berdepan tekanan besar berikutan harapan yang tinggi daripada peminat bola sepak.

"Minggu lepas genap setahun sejak sidang akhbar pertama saya di sini. Ia perjalanan yang menakjubkan walaupun ketika saya mula-mula tiba, keputusan Piala AFF (2020) (berlangsung dari Dis 2021-Jan 2022) tidak memuaskan, banyak tekanan.

"Tetapi, tiada kesalan...saya dan pasukan kejurulatihan mencuba yang terbaik, kami bekerja keras sejak hari pertama. Saya menuntut banyak perkara daripada mereka...saya harap peminat menerima komitmen dan kesetiaan kami demi bola sepak Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM di sini semalam.

Pan Gon berkata yang paling penting ialah pasukan kejurulatihannya telah menetapkan hala tuju yang jelas kepada skuad Harimau Malaya, untuk memiliki DNA bola sepak Malaysia sendiri dan beraksi dalam permainan yang mendominasi dan dinamik.

Berdepan dengan dua tugasan penting - Piala Asia 2023 dan kelayakan bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 - Pan Gon mengakui cabaran lebih hebat menanti pasukan kebangsaan.

"Mungkin ada beberapa bahagian, kadangkala kami perlu perlahan...jangkaan orang sangat tinggi, (akan) mewujudkan lebih banyak tekanan.

"Akhir tahun ini, kami akan berada dalam fasa berbeza, kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia kedua-duanya kejohanan yang sukar, jadi kami memohon kesabaran dan sokongan berterusan daripada peminat," katanya.

Sejak mengendalikan skuad Harimau Malaya, Pan Gon telah membimbing mereka untuk layak ke Piala Asia pada Jun tahun lepas secara merit buat kali pertama dalam 42 tahun, selain mara ke separuh akhir Piala AFF 2022 meskipun ketiadaan pemain utama.

-- BERNAMA