SPORTS
Papan Selaju: Momo, Mahathir capai sasaran di Pattaya

Momo (kiri) menamatkan saingan di tempat ke-13, manakala Mahathir ke-7, di Thailand Extreme Fest 2025. - Foto Astro AWANI/Ian Johan Ariff.
PATTAYA: Sasaran pertama program pembangunan papan selaju Road To Los Angeles (RTLA) yang dirancang Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE) dengan pasukan The Razkals di Thailand Extreme Fest 2015 untuk mara ke final tercapai.
Ringkasan AI
- Mahathir dan Momo Lolos ke Final - Dua peluncur muda negara, Mahathir dan Momo, berjaya mara ke final Thailand Extreme Fest 2025 dan menunjukkan peningkatan prestasi berbanding pusingan kelayakan.
- Kelemahan dalam Trik Tunggal - Walaupun cemerlang dalam bahagian run, mereka masih lemah dalam segmen trik tunggal, yang merupakan komponen penting dalam kejohanan dan memerlukan lebih latihan.
- Permulaan Positif Program RTLA - Kejayaan ini dianggap permulaan yang baik bagi program pembangunan RTLA MySKATE dalam usaha melayakkan diri ke Olimpik 2028, dengan pertandingan seterusnya di Rom, Itali.
Mahathir mencatat 63.67 mata pada run kedua di final, meningkat daripada 52.33 mata dalam pusingan awal, hanya gagal menyempurnakan satu trik.
Momo pula melonjak daripada 52.67 mata kepada 72.00 mata dengan run yang sempurna dan konsisten.
Jaguh Thailand, Thawatchai Siang-Ueng atau Chai, bangkit daripada kedudukan kelapan untuk muncul juara keseluruhan dengan 233.33 mata selepas mempamerkan aksi menakjubkan dalam segmen trik tunggal. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Jarudech (218.66) dan Kirin Petkiree atau Firas (205.67).
Walaupun cemerlang dalam bahagian run, Mahathir dan Momo masih ketinggalan dalam bahagian trik tunggal, satu komponen penting dalam format kejohanan.
Mahathir menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 147.00 mata, manakala Momo di tangga ke-13 selepas gagal menambah mata dalam segmen tersebut.
Bagaimanapun, ketua jurulatih kebangsaan, Mariss Khan tetap berpuas hati dengan persembahan dan peningkatan yang ditunjukkan anak buahnya.
“Kedua-dua sudah menunjukkan mereka setanding dengan atlet lain dari Asia Tenggara dan ini adalah pendedahan yang sangat baik untuk kami menilai kedudukan mereka untuk memberi saingan kepada pesaing dari rantau ini.
“Kelemahan mereka adalah pada saingan trik tunggal dan mereka perlu lebih banyak latihan dan pendedahan untuk mengetahui bagaimana kami mampu menyaingi atlet lain dari rantau ini dalam masa terdekat,” kata Mariss.
Pengurus pasukan, Shahrizul Ikwan, turut memuji pencapaian ini sebagai permulaan yang memberangsangkan sebagai pendedahan untuk RTLA MySKATE.
“Sebelum kami ke Pattaya, kami tahu kedua-dua mereka masih belum mampu memenangi kejohanan ini kerana tahap permainan atlet tuan rumah dan Filipina sangat tinggi, namun apa yang kami boleh sasarkan ialah mereka masuk final.
“Alhamdullilah kami berjaya ke final dan lebih membanggakan lagi ialah mereka berjaya membaiki kesilapan yang mereka lakukan pada pusingan kelayakan dengan cemerlang,” kata Shahrizul.
Momo dan Mahathir pula semakin yakin dengan kemampuan mereka untuk bersaing di pentas serantau selepas beberapa kejohanan sebelum ini, termasuk di Jepun dan Indonesia.
“Saya gembira dapat membaiki run saya dan berusaha untuk memberikan saingan yang hebat kepada atlet lain di rantau ini yang sangat hebat.
“Apa yang saya perlu selepas ini ialah mempelbagaikan trik dan memastikan konsistensi dalam bahagian single trick section ataupun trik tunggal untuk meningkatkan daya saing dengan atlet lain.” kata Momo.
“Ini bukan penamat buat kami, banyak lagi tempat yang kami akan pergi untuk membaiki prestasi permainan kami dan kami berharap untuk terus mendapat sokongan supaya kami boleh menjadi juara di rantau ini dan seterusnya berjaya layak ke Olimpik 2028 di Los Angeles.” kata Mahathir.
Thailand Extreme Fest merupakan kejohanan jemputan anjuran Persatuan Sukan Ekstrem Thailand (TESA) sebagai medan pemanas badan menjelang Sukan SEA 2025 yang bakal berlangsung Disember ini.
Selepas ini, Mahathir dan Momo akan ke Rom, Itali bagi menyertai Jelajah Dunia Street World Skate (WST) 2025, bagi meneruskan program pembangunan khas atlet Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pemburuan pingat emas Olimpik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami