PUTRAJAYA: Penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat dijangka menjejaskan sebahagian perkhidmatan penerbangan antarabangsa, termasuk kemungkinan kelewatan, perubahan jadual, lencongan laluan dan pembatalan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa langkah itu dilaksanakan atas faktor keselamatan serta keperluan mematuhi piawaian penerbangan antarabangsa.
Advertisement
"CAAM memantau secara rapat perkembangan semasa dan berhubung terus dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memastikan kepentingan, keselamatan dan hak penumpang sentiasa terpelihara.
"Semua pengendali penerbangan yang berlepas dari atau tiba di Malaysia diingatkan supaya mengambil langkah sewajarnya ketika situasi ini.
"Antaranya termasuk memaklumkan penumpang dengan segera sekiranya berlaku perubahan kepada masa berlepas atau ketibaan, termasuk kelewatan, penjadualan semula, lencongan laluan atau pembatalan penerbangan," katanya.
Katanya lagi, syarikat penerbangan juga diwajibkan menyediakan bantuan sewajarnya serta pilihan perjalanan alternatif kepada penumpang yang terjejas, selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).
Pada masa yang sama, CAAM menasihatkan pengendali supaya mengekalkan komunikasi yang jelas, tepat masa dan telus sepanjang tempoh gangguan ini.
CAAM berkata pihaknya menjangkakan semua pengendali mengambil langkah munasabah bagi meminimumkan kesulitan dan memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan sedia ada.
Bagi penumpang yang akan berlepas ke, dari atau transit di rantau terjejas, CAAM menasihatkan supaya mereka menyemak status penerbangan secara berkala terus dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang.
"Penumpang juga dinasihatkan memastikan maklumat perhubungan dalam tempahan adalah tepat dan terkini untuk menerima sebarang notifikasi penting, serta menghubungi syarikat penerbangan bagi urusan penjadualan semula, bayaran balik atau bantuan lanjut sekiranya berlaku gangguan," katanya.
Menurut CAAM, penumpang yang merasakan hak mereka di bawah MACPC tidak dipenuhi perlu terlebih dahulu membuat aduan kepada syarikat penerbangan.
Jika isu tidak diselesaikan, laporan boleh dikemukakan melalui saluran pengguna rasmi CAAM untuk tindakan lanjut.
CAAM menambah bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan di Asia Barat sambil bekerjasama dengan pihak industri bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat dan hak pengguna sentiasa dilindungi.