NEW YORK: Rusia menuntut agar Amerika Syarikat (AS) dan Israel segera menghentikan tindakan agresif mereka terhadap Iran, kata Wakil Tetap Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Vassily Nebenzia, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kami menuntut agar AS dan Israel segera menghentikan tindakan agresif mereka," kata Nebenzia pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB mengenai Iran.
Advertisement
Beliau berkata pencerobohan terhadap Iran telah menyebabkan peningkatan ketegangan di rantau ini dan boleh merebak jauh melepasi sempadannya.
Nebenzia menyifatkan tindakan AS dan Israel sebagai "tindakan agresi bersenjata tanpa provokasi" yang melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
"Tindakan AS dan Israel berisiko menjadi bencana kemanusiaan dan ekonomi," tambahnya.
Nebenzia berkata, peningkatan ketegangan di sekitar Iran mengancam keselamatan nuklear dan radiologi.
Beliau berkata, Rusia menjangkakan Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, akan mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Iran.
Wakil Rusia itu berkata, Moscow bersedia membantu mencari penyelesaian diplomatik bagi krisis Iran.
"Kami menegaskan keperluan untuk segera menyambung semula penyelesaian politik dan diplomatik serta mencari penyelesaian berdasarkan undang-undang antarabangsa, hormat-menghormati antara pihak, dan keseimbangan kepentingan. Rusia kekal bersedia memberikan semua bantuan yang diperlukan bagi usaha sedemikian,” katanya.
Rusia mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keselamatan rakyatnya di Iran, kata Nebenzia.
"Negara kami mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keselamatan warganegara Rusia di Republik Islam Iran," katanya.
AS dan Israel melancarkan siri serangan ke atas sasaran di Iran pada Sabtu, termasuk Tehran, dengan laporan kemalangan orang awam. Iran telah melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel, serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah. - Bernama