ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa projek pembinaan stadium baharu Kedah Darul Aman FC (KDAFC) yang dijangka akan dibina di Sungai Petani tidak langsung melibatkan penggunaan wang atau dana daripada kerajaan negeri.

Sebaliknya, tegas beliau, projek itu merupakan satu usaha sama antara Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) yang telah menyediakan tapak tanah serta KDAFC sendiri yang akan menyalurkan dana bagi membangunkan stadium berkenaan.

Tambah Sanusi, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), beliau akan membawa cadangan pembangunan tapak stadium itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kedah untuk diluluskan memandangkan ianya bakal memberi manfaat kepada banyak pihak khususnya penduduk sekitar Sungai Petani.

"Apabila KDAFC cadang untuk membina stadium (yang) ada pusat latihan sendiri, saya (terus) kata (ianya) boleh dijalankan (dan) dilaksanakan secara joint venture antara KDAFC dengan MPSPK, (di mana) tanah milik MPSPK (manakala) dana pembinaan (ditanggung) KDAFC,

"(Pasal macam mana nak cara dana itu) KDAFC ada cara dia untuk buat 'fundraising' bagi pembinaan stadium, mereka (di KDAFC) sudah tengok stadium Johor Darul Ta'zim (JDT) kualitinya (dengan stadium baharu ini difahamkan) dekat-dekat (hampir sama) walaupun tidak sampai setaraf (JDT) itu,

"Mereka (KDAFC dan MPSPK) turut maklumkan bahawa mereka telah buat keputusan untuk JV dan (di pihak) saya, akan bawa untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas (kita lihat) mereka serius kita akan bincang perkara itu, (jadi saya nak maklumkan) bukan pakai duit kerajaan negeri hendak buat (projek stadium itu), (tetapi atas usaha sama) KDAFC dan MPSPK," tambahya.

Sanusi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Widad K-League 2022 di Seri Mentaloon, Anak Bukit pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa projek pembinaan itu akan merangkumi beberapa bahagian seperti stadium dan pusat latihan KDAFC selain padang awam bagi kegunaan orang ramai.

"'Design sudah siap, sudah ada, saya sudah tengok design itu, sangat cantik, ada yang part khusus untuk KDAFC dan padang latihan, ada yang open untuk orang ramai, dia kena open untuk orang ramai sebab tanah MPSPK dan kerajaan, jadi kena JV, ada yang 'open' untuk yang riadah dan sukan dan ada khusus untuk pasukan KDAFC," kata Muhammad Sanusi. 

"(Usaha dalam memulakan gerak kerja ini akan dilakukan) very soon, tahun ini juga, bukan tahun ini siap stadium (itu), tahun ini akan ada keputusan (berkaitan kelulusan daripada MMK), design (terakhir) dan (beberapa) ketetapan (lain), saya harap sebelum pilihan raya ada (majlis) pecah tanah, (mahu) bagi mereka (individu yang suka membidas saya) marah sikit," tambahnya.

Sabtu lalu, Muhammad Sanusi menyatakan bahawa KDAFC optimis atas usaha untuk membina sebuah stadium baharu buat pemain sekali gus mampu meletakkan mereka sebaris dengan JDT.

Jelasnya, stadium berkenaan bakal menyediakan pelbagai kemudahan dan akan menjadi pusat latihan pemain.