PEMILIK Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar terharu dengan sokongan padu 21,700 penyokong setia Sang Kenari yang membanjiri Stadium Darul Aman bagi aksi kedua Liga Super 2023 pada malam Rabu.

Menurutnya, seorang penyokong muda yang ditemui selepas kemenangan 1-0 KDA FC ke atas Terengganu FC menyatakan dia berusaha mengumpul getah sekerap sebelum dijual untuk membeli tiket pada perlawanan tersebut.

"Tan Sri, saya jual getah sekerap kumpul duit nak beli tiket," ucap remaja itu seperti yang dipetik melalui Facebooknya pada petang Khamis.

Jelas Mohd Daud, sokongan ikhlas yang ditunjukkan oleh penyokong setia membuatkan dirinya hampir mengalir air mata.

Menurutnya, penyokong setia Sang Kenari bersusah payah membantu kelab dan beliau menyifatkan sokongan itu sebagai perjuangan kepada kelab itu pada era baharu.

"Saya juga amat berterima kasih kepada semua penyokong yang telah bersusah payah membeli tiket sekali gus membantu kelab kita. Dengan perbelanjaan yang agak besar membina pasukan baharu, setiap satu ringgit pendapatan kepada kelab amat bermakna.

"Inilah masa untuk membantu kelab. Datang beramai-ramai dengan membeli tiket. Sumbangan anda amat bermakna. Kelab kita, keluarga kita, kita yang jaga," ujar beliau lagi.

Mengulas dua kemenangan berturut-turut pada aksi Liga Super 2023 pula, Mohd Daud memuji pemainnya yang berusaha bersungguh-sungguh sehingga ke wisel terakhir.

"Sewaktu gol Sang Kenari dijaringkan, saya hanya duduk di atas kerusi. Selalunya saya akan melompat berdiri. Kali ini rasa berat sangat. Saya hanya melihat bola masuk gol dengan pantas sambil lidah mengucapkan Alhamdulillah tiga kali.

"Saya tidak tahu bagaimana nak menggambarkan perasaan bertuah dan bersyukur atas anugerah pada minit-minit terakhir," kata Mohd Daud. - Sinar Harian