KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyerahkan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk memutuskan pendekatan yang bakal digunakan berhubung sasaran pingat bagi Sukan Asia Hangzhou 2022.

Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata pihaknya sudah mengemukakan dua cadangan kepada Hannah mengenai penetapan sasaran bagi temasya berkenaan, yang dijadual berlangsung di China bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.

Ia sama ada mengumumkan sasaran pingat mengikut warna (emas, perak, gangsa) seperti biasa atau mengambil pendekatan baharu dengan hanya mengumumkan jumlah keseluruhan pingat bagi kontinjen negara tanpa mendedahkan warna pingat.

"Kita lihat paling penting adalah pencapaian keseluruhan kerana mahu saiz kontinjen menjustifikasikan jumlah pingat dibawa pulang. Kita pun tak nak lihat pingat emas ini menjadi topik utama untuk kontinjen, tetapi yang penting semua sukan dihantar ada prestasi baik di Sukan Asia.

"Kita pun perlu pertimbangkan bahawa selepas temasya kali ini ditunda setahun, China lebih bersedia dan agresif untuk buru lebih banyak emas, manakala sukan harapan emas kita seperti boling tidak dipertandingkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di sini, hari ini.

Sasaran pingat Sukan Asia 2022 bakal diumumkan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang, Isnin ini.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Malaysia menduduki tempat ke-14 keseluruhan selepas merangkul tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Sementara itu, Mohd Nazifuddin berkata mesyuarat hari ini juga membincangkan mengenai perjalanan kontinjen negara bagi tiga Sukan SEA akan datang iaitu di Thailand pada 2025, Malaysia (2027) dan Singapura (2029), serta kriteria penetapan sukan teras.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) diminta untuk membantu persatuan sukan kebangsaan (NSA) untuk menyediakan venue latihan, manakala Pesuruhjaya Sukan digesa mengelakkan penganjuran pertandingan oleh pihak ketiga tanpa kelulusan (sanction) daripada NSA, katanya.

-- BERNAMA