Susulan insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Feb lepas, barisan pemain dan pengurusan pasukan T-Team bersumpah bersaksikan Al-Quran bagi mencari kebenaran.

Sorang pemain dan penolong jurulatih pasukan T-Team bersumpah bersaksikan Al-Quran dalam majlis khas di Hotel Tabung Haji (TH) & Convention Center di sini pada kira-kira 10 malam tadi, sempena majlis perjumpaan pegawai dan pemain bola sepak Liga Super, Terengganu dan T-Team.

Majlis itu diadakan berikutan Menteri Besar Terengganu meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah Al-Quran berhubung kebenaran insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara pasukan itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium itu minggu lepas.

Upacara bersumpah itu didahului penolong jurulatih Azlan Johar dan diikuti pemain tengah Khairan Izuan Razali. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Bagaimanapun kelibat pemain pertahanan T-Team, Irfan Abd Ghani yang merupakan bekas pemain JDT yang sebelum ini mengadakan sidang akhbar "mengejut" dengan mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong tidak kelihatan sepanjang majlis perjumpaan itu.

Ifran sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa insiden kekecohan dalam terowong persalinan tidak pernah berlaku.

Dalam pada itu,Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam mengesahkan, Ifran telah memberikan notis meletakan jawatan kepada ketua pegawai operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain.

"Selepas dia buat kenyataan di Johor tu, kita dah check, semua pakaian dia pun dah takde, maknanya dia sudah bersedia untuk melarikan diri, saya rasa ini perkara yang tidak baguslah," katanya.

Wan Ahmad berkata PBSNT akan meneliti perkara itu berdasarkan peraturan ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).