SPORTS
Penstrukturan Liga-M keutamaan Mohd Joehari

Presiden FAM yang baharu Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub ketika sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-61 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Penstrukturan saingan Liga Malaysia (Liga-M) antara menjadi keutamaan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dalam fasa pertama pentadbirannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu.
Ringkasan AI
- Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menekankan penstrukturan semula Liga-M sebagai keutamaan dalam pentadbirannya sebagai Presiden FAM yang baharu.
- Langkah pemerkasaan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bertujuan mengembalikan daya tarikan liga tempatan dan memperbaiki struktur perlawanan serta liga.
- Perhatian juga diberikan kepada isu tunggakan gaji, dan Mohd Joehari optimis dengan barisan kepimpinan baharu FAM termasuk legenda bola sepak negara.
"Kita sudah tahu keadaan dalam Liga-M tidak berapa sihat jadi salah satu pelan utama dengan bekerjasama dengan MFL memperbaiki liga," katanya pada sidang media kongres pemilihan FAM penggal 2025-2029 di sini hari ini.
Beliau berkata perkara lain turut diberi perhatian termasuk isu tunggakan gaji yang akan diteliti bersama pengendali liga negara itu.
Sebelum ini, Liga-M dilaporkan kian suram apabila dihimpit permasalahan kekurangan penonton yang hadir ke stadium bagi menyaksikan Liga-M selain jadual liga yang tidak teratur.
Terdahulu, Mohd Joehari diumum sebagai Presiden baharu FAM bagi menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2018.
Naib presiden badan induk sukan itu sebelum ini disahkan menang tanpa bertanding apabila menjadi calon tunggal oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said pada pemilihan tersebut.
Mohd Joehari turut optimis dengan kehadiran barisan kepimpinan baharu FAM termasuk legenda bola sepak negara Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan yang disifatkannya sebagai kombinasi terbaik dalam usaha membawa bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami