Penyokong Harimau Malaya dinasihat menggunakan menggunakan sistem pembayaran tol elektronik, di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau jika hendak menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Harimau Malaya dan Vietnam di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Dalam satu kenyataan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, mereka yang mengguna Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) untuk ke stadium itu hanya boleh membuat pembayaran menerusi kad PLUSMiles, Touch 'n Go atau SmartTag.

"Ini kerana bayaran secara tunai tidak lagi dikendalikan di kedua-dua plaza tol berkenaan," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, bagi memudahkan pengguna mendapatkan kad PLUSMiles dan menambah nilai, PLUS turut menyediakan lorong khas Jualan dan Tambah Nilai yang dibuka 24 jam setiap hari.

"Kad PLUSMiles pada harga promosi RM5 dan SmartTAG pada harga istimewa RM99.

"Kad itu boleh dibeli di Pusat Khidmat Pelanggan di Plaza Tol Batu Tiga, Sungai Rasau, Subang dan Setia Alam," ujar kenyataan itu.

Dala pada itu, kenyataan itu turut meminta penyokong Harimau Malayasupaya menggunakan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) untuk ke stadium.

Stadium Shah Alam dipilih sebagai lokasi perlawanan Malaysia dengan Vietnam, menggantikan Stadium Nasional Bukit Jalil kerana mutu padang di stadium tersebut tidak berada pada tahap yang terbaik.

Stadium yang turut menjadi kubu kuat untuk pasukan Selangor itu dibina pada 1994, mampu menampung kapasiti sehingga 80,932 penonton pada setiap perlawanan.

Malaysia berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan juara edisi lepas, Singapura dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan penutup kumpulan B di Stadium Nasional Singapura Sabtu lepas, sekaligus menyingkirkan tuan rumah daripada saingan.