PEP GUARDIOLA mengumumkan hasratnya untuk meninggalkan Manchester City dan sedia menggalas tanggungjawab di peringkat antarabangsa sebaik kontraknya berakhir pada akhir musim depan.

Guardiola kini memasuki tahun kedua terakhir perjanjiannya di Stadium Etihad di mana dia bertugas sejak Julai 2016.

Selepas dilantik menggantikan Manuel Pellegrini, bekas pengurus Barcelona itu telah menjuarai tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), empat Piala Liga Inggeris (EFL) dan Piala FA sepanjang bersama Citizens.

Pengurus berusia 50 tahun itu mendedahkan bahawa dia tidak merancang untuk melanjutkan sentuhan dengan kelab berkenaan dan menyasarkan peluang mengemudi pasukan kebangsaan.

"Selepas tujuh tahun berada di pasukan ini, saya rasa saya harus berhenti.

"Saya harus berehat sebentar, melihat apa yang telah dilakukan dan mendapatkan inspirasi.

"Dan dalam proses itu, saya ingin melatih pasukan kebangsaan, baik di Amerika Selatan, Eropah mahupun dalam Copa America; Saya ingin menimba pengalaman seperti ini," katanya dalam majlis XP Investimentos.  

Namun, bekas pengendali Barcelona itu menepis cadangan bahawa dia berminat untuk menggantikan Tite sebagai ketua jurulatih Brazil.

Pengurus City itu berasakan bintang handalan Brazil ketika ini tidak menerima layanan yang adil dengan pasukan terdahulu sambil menegaskan mereka akan tetap menjadi salah sebuah pasukan pilihan dalam Piala Dunia di Qatar tahun depan.

"Pasukan Brazil ketika ini akan selalu kalah dengan sejarah.

"Sekiranya anda membandingkan pasukan ini dengan yang dibintangi Pele dan juara Piala Dunia 1994, skuad ini pasti tenggelam.

"Tetapi jika anda bertanya kepada saya apa pendapat saya mengenai pasukan bimbingan Tite ini: Mereka hebat. Anak buah saya dan pesaing yang lain juga hebat.

"Sekiranya anda membandingkan mereka dengan masa lampau, pasukan terdahulu akan lebih dilihat menyerlah sebab mereka tidak lagi beraksi. Namun, Brazil sering menjadi pasukan pilihan, baik dalam Copa America dan Piala Dunia. Mereka acap kali dilabel sebagai pilihan kerana ia sebahagian daripada budaya mereka.

"Saya fikir jurulatih pasukan kebangsaan Brazil akan tetap merupakan warga tempatan. Saya tidak melihat orang asing dalam pasukan seperti Brazil," katanya.

- StadiumAStro.com / Shaiful Shamsudin