IPOH: Perak FC hari ini mengesahkan penamatan kontrak Mehmed Durakovic sebagai ketua jurulatih Perak FC selepas rundingan dilakukan selama seminggu.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC Khairul Shahril Mohamed berkata penamatan kontrak itu adalah atas permintaan Mehmed sendiri yang memaklumkan ingin pulang ke Australia bagi menyelesaikan urusan keluarga.

“Rundingan ini telah berjalan selama seminggu dan pengurusan menghormati pendirian Mehmed yang memilih untuk kembali ke Australia.

“Ini merupakan keputusan yang sukar dan berat untuk kami putuskan dan pastinya satu kehilangan yang besar kepada pasukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihak pengurusan juga memilih bekas pengendali Kuala Lumpur Chong Yee Fatt untuk mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih Perak FC, keputusan yang dibuat atas nasihat Mehmed.

Katanya satu rundingan bersama Kuala Lumpur United FC telah dibuat untuk membawa pulang Yee Fatt bagi menggalas tanggungjawab itu.

Yee Fatt merupakan bekas pemain Perak bagi musim 1981 hingga 1983 dan musim 1986 serta pernah menyandang jawatan sebagai pembantu ketua jurulatih bagi musim 2011 hingga 2013 serta pada musim 2017 sewaktu pasukan diterajui oleh Karl-Heinz Weigang.

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata pihaknya juga bersetuju untuk melantik Rizal Naizali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC berkuat kuasa pada 10 Feb lalu selain turut berperanan sebagai pengurus pasukan tersebut bagi musim ini.

“Pengurusan telah mengesahkan Perak II menyertai Liga Premier Malaysia pada musim ini dan keputusan penyertaan itu dibuat demi pemantapan arena bola sepak negeri dan perkembangan bakat-bakat pemain muda di Perak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihak pengurusan akan memuktamadkan pemilihan logo selepas dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada pagi esok.

“Untuk perkara ini, pihak pengurusan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat yang mengambil bahagian dalam urusan pemilihan logo yang baharu,” katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan memohon maaf atas keresahan yang timbul dalam pengurusan Perak FC khususnya bagi menghadapi musim 2021.

-- BERNAMA