IPOH: Perak tidak bercadang untuk menyambung penubuhan Perbadanan Stadium yang telah diilhamkan pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini pada September 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed berkata ini kerana penubuhan tersebut tidak praktikal di negeri ini.

"Dahulu kita ada usaha untuk menubuhkan Perbadanan Stadium namun setelah kita melalukan kajian di beberapa negeri, kebanyakannya tidak berjaya.

"Kami lihat projek tersebut tidak praktikal di negeri ini. Kita lihat lagi banyak negeri tidak berjaya melakukan projek ini jadi kita tidak mahu contohi benda yang tidak berjaya," katanya pada sidang media selepas menyampaikan insentif kepada Atlet Sukan SEA Vietnam 2021 di sini pada Isnin.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mewujudkan satu unit khas yang lebih praktikal untuk dijayakan iaitu selain di bawah kelolaan MBI, kemudahan sukan di daerah lain akan berada di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada 2018, kerajaan Perak bercadang menubuhkan Perbadanan Stadium bagi mengurus, mengawal selia dan menyelenggara kemudahan serta prasarana sukan di negeri itu.

Terdahulu, beliau menyampaikan insentif sebanyak RM20,000 kepada 11 atlet negeri yang berjaya memenangi pingat ketika mewakili kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam.

"Sebanyak dua atlet memenangi pingat emas dalam acara akuatik terjun dan berbasikal bukit (MTB) masing-masing memperoleh RM3,000.

"Enam daripadanya meraih pingat perak dalam acara sepak takraw lelaki, menembak, olahraga, muaythai dan dualthon menerima RM1,200 hingga RM1,500 dan selebihnya merangkul pingat gangsa dalam acara angkat berat, kickboxing, sepak takraw wanita dan olahraga telah diberikan insentif sebanyak RM1,000 hingga RM1,200," tambah beliau.

-- BERNAMA