Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Sabtu mengulangi kesediaannya untuk berdebat dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai prestasi bola sepak negara.

Bagaimanapun, kali ini Khairy menegaskan perlunya perbahasan yang membina dan bukan digunakan sebagai platform untuk menuding jari kepada sesiapa.

Katanya lagi, hanya wacana positif boleh menyumbang kepada peningkatan sukan yang paling disayangi di Malaysia ini.

“Saya bersedia mengadakan perbahasan sama ada secara tertutup atau terbuka dengan TMJ atau FAM. Saya tidak ada masalah,

"Namun, bahas itu perlu ke arah positif, dan pastikan ia dilakukan secara membina dan tidak digunakan untuk menyalahkan sesiapa.

"Kerana jika ia adalah positif, maka mungkin kita akan bertemu cahaya di hujung terowong," katanya kepada pemberita yang turut merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Khairy ditemui selepas merasmikan program Kupas Buku anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Borders The Curve Mutiara Damansara dekat sini pada Sabtu.

Dua hari lalu, Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers pada Selasa, dilaporkan 'tidak sabar' mahu berdebat dengan Khairy dan wakil FAM bagi mencari punca dan juga penyelesaian kepada kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, sehingga kini kedua-dua pihak masih belum mendedahkan tarikh dan tempat debat tersebut.

Bola sepak Malaysia berada di ranking ke-174 dalam senarai FIFA.

Kedudukan tersebut merupakan terburuk dalam sejarah bola sepak negara selepas menghuni tangga ke 171 pada Januari dan Februari lalu.