TATKALA Liga Perdana Inggeris hanya berbaki sembilan perlawanan lagi, takhta juara sudah hampir pasti bakal dipertandingkan di antara dua pasukan cuma -- Manchester City dan Liverpool.

Pasti masih segar di memori penyokong Liverpool tentang jerih-perih yang dilalui musim lalu gara-gara krisis kecederaan melanda barisan pertahanan sehingga memaksa pemain-pemain barisan tengah terpaksa ditugaskan sebagai bidan terjun untuk mengemudi dan pada akhirnya terpaksa berpuas hati mengakhiri musim di tangga ketiga, 17 mata di belakang Manchester City.

Musim ini pula menyaksikan kebangkitan The Reds sepenuhnya.

Virgil Van Dijk ternyata kekal teguh setelah pulih daripada kecederaan ACL, manakala pasangannya, Joel Matip, kelihatan semakin maju dari sehari ke sehari, sehinggakan bekas pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand, mendamba bahawa prestasi Matip telah mengatasi Van Dijk dalam aspek-aspek tertentu.

Berdasarkan laporan The Daily Mail, Liverpool merekodkan sebanyak 121 perangkap ofsaid dalam liga -- bukti bahawa pemain-pemain mereka cukup faham akan sistem yang dimahukan oleh pengurus, Jurgen Klopp.

Keampuhan barisan pertahanan dipadankan pula dengan kejituan barisan serangan yang menjaringkan sebanyak 75 gol secara keseluruhan setakat ini, di mana Mohamed Salah, Diogo Jota dan Sadio Mane merekodkan hampir 50 peratus daripada jumlah itu.

Luis Diaz, pemain yang baru sahaja dibeli Januari lalu, nampaknya cukup serasi sehinggakan dia kelihatan seperti pemain yang sudah lama beraksi bersama Liverpool.

Pendek kata, hampir kesemuanya berjalan lancar ketika ini dan Liverpool cukup bersedia untuk bertarung dengan City sehingga ke hari terakhir demi merebut semula takhta juara milik mereka.

Namun, harus diingatkan tentang satu masalah yang bermula awal musim ini dan nampaknya bakal terus membelenggu dalam jangka masa terdekat -- isu kontrak pemain terbaik mereka, Mohamed Salah.

Salah dilaporkan menuntut gaji setinggi £400,000 (RM2.2 juta) seminggu, jumlah yang sama dinikmati oleh Kevin De Bruyne di Manchester City, juga gaji kedua tertinggi dalam liga, hanya di belakang Cristiano Ronaldo yang dibayar £510,000 (RM2.8 juta) seminggu.

Berdasarkan logik semata-mata, jumlah itu sememangnya layak untuk Salah pinta -- dia merupakan salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini dan cuma menuntut agar dibayar dengan setimpal.

Menurut kata-kata Salah sendiri dalam temu bual pada bulan Januari, "Jumlah yang saya minta tidaklah melampau dan saya mahu berasa dihargai oleh kelab."

Masalahnya di sini adalah dari segi keharmonian pasukan serta faktor kestabilan kewangan yang cukup Liverpool banggakan.

Jika melihat struktur gaji lima pemain Liverpool yang menerima bayaran tertinggi, ia pasti jelas untuk difahami.

Virgil Van Dijk - £220,000 (RM1.2 juta) seminggu

Thiago Alcantara - £200,000 (RM1.1 juta) seminggu

Mohamed Salah - £200,000 (RM1.1 juta) seminggu

Trent Alexander-Arnold - £180,000 (RM996,000 ) seminggu

Roberto Firmino - £180,000 (RM996,000) seminggu

Lima pemain ini menerima bayaran yang tidak terlalu banyak berbeza.

Jika Salah secara tiba-tiba dibayar lebih dua kali ganda daripada semua pemain lain, mustahil mereka tidak akan menuntut bayaran serupa, dan di sinilah ketidakharmonian berpotensi untuk tercetus.

Melihat ke tangga-tangga yang lebih rendah dalam struktur gaji tersebut, mungkin ramai yang terkejut apabila mengetahui Sadio Mane cuma menerima £100,000 (RM553,000) seminggu manakala Andrew Robertson pula cuma £50,000 (RM276,000) seminggu sahaja.

Soalan yang tidak henti-henti Liverpool tanyakan sejak awal musim ini adalah 'Adakah segala risiko ini berbaloi buat Salah?'

Soalan yang harus Salah tanyakan pada dirinya sendiri pula adalah 'Adakah wang gaji dua kali ganda itu lebih berbaloi berbanding dengan kestabilan dan kegembiraan yang dibina sejak bertahun-tahun lalu?'

Barcelona dan beberapa kelab gergasi lain mengintai dalam diam dan bersedia untuk melakukan tawaran jika benar Salah memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan bersama Liverpool.

Namun, nasib Salah setelah berkelana tidak mungkin akan dapat dijamin.

Cristiano Ronaldo menikmati tempoh terbaik dalam kerjayanya setelah meninggalkan Manchester United untuk menyertai Real Madrid, sebaliknya Eden Hazard pula melakukan kesilapan terbesar dalam menyertai kelab yang sama.

Sama-sama kita nantikan.