KUALA LUMPUR: Pasukan Terengganu FC II dan Penang FC menerima padah apabila dikenakan hukuman denda oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas pemain mereka terlibat dalam pergaduhan pada perlawanan Piala Menteri Besar Terengganu, 10 Feb lepas.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Che Mokhtar Che Ali berkata Terengganu FC II dikenakan hukuman denda sebanyak RM10,000 manakala Penang FC pula RM5,000 susulan insiden di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Beliau berkata keputusan yang tidak boleh dirayu dicapai dalam mesyuarat kali ketujuh bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam (24 Feb) turut menyaksikan kedua-dua pasukan diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

"Kesalahan dilakukan itu jelas melanggar Artikel 54 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 74, perenggan dua dan perenggan tiga Kod Tatatertib FAM akibat daripada kegagalan menjaga tingkah laku dengan baik apabila para pemain bergaduh dalam perlawanan sehingga menyebabkan kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bukan itu sahaja, Che Mokhtar memaklumkan pihaknya turut mengenakan hukuman kepada dua pemain Terengganu FC II iaitu Muhd Aqil Irfanuddin Mohd Sabri dan Mohammad Ridzuan Mohd Razali serta dua pemain import Penang FC, Endrick Dos Santos Parafita dan Anselmo Arruda Da Silva.

Che Mokhtar berkata Muhd Aqil yang didapati melakukan provokasi terhadap Endrick digantung selama sebulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak berkuat kuasa 24 Feb hingga 25 Mac dan didenda RM2,000.

Katanya, Mohammad Ridzuan yang dihukum kerana berkelakuan ganas apabila menendang dan menumbuk muka pemain pasukan lawan, Muhammad Adib Abdul Ra'op sehingga berdarah hidung menyaksikannya digantung dua bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak berkuat kuasa 24 Feb hingga 24 April dan denda RM4,000.

Bagi Endrick pula, Che Mokhtar berkata pemain Penang FC itu, yang berkelakuan ganas dengan menumbuk bahagian belakang Muhd Aqil, menerima hukuman penggantungan selama dua minggu daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak bermula 24 Feb hingga 9 Mac dan didenda RM1,000 manakala Anselmo yang menendang dengan aksi flying kick Mohammad Ridzuan digantung sebulan daripada terlibat dengan aktiviti bola sepak berkuat kuasa 24 Feb hingga 25 Mac selain denda RM3,000.

Che Mokhtar berkata kesemua empat pemain terlibat telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 74, perenggan dua dan perenggan tiga Kod Tatatertib FAM.

Beliau menambah kesalahan dilakukan itu menyebabkan mereka diberi amaran keras serta hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama dan keputusan berkenaan tidak boleh dirayu.

Insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan pada penghujung separuh masa pertama itu memaksa perlawanan ditamatkan lebih awal.

-- BERNAMA