MALAYSIAN Football League (MFL) mengumumkan bahawa Perlis United FC (PUFC) diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) yang bersyarat bagi mengisi slot ke-14 untuk menyertai Liga Super 2024-2025.

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mendengar permohonan PUFC menerusi cadangan daripada First Instance Body (FIB) yang telah membuat semakan dan penilaian teliti dokumen-dokumen yang diserahkan kelab M3 Amateur Football League (AFL) itu.

Selain PUFC, turut mengemukakan permohonan adalah kelab Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT bagi mengisi slot ke-14 selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.

Setiap permohonan perlu melengkapkan kriteria dan subkriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Berdasarkan semakan dan penilaian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

PUFC turut telah mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan. Selain itu, kelab berkenaan juga menyerahkan surat sokongan daripada kerajaan negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta surat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Walau bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan PUFC hanya akan diberikan Lesen Bersyarat Luar Biasa dengan mematuhi beberapa keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh FIB susulan janji dan jaminan yang diberikan kepada FIB daripada pegawai-pegawai PUFC semasa pembentangan mereka.

MFL telah memaklumkan syarat-syarat berkenaan kepada PUFC dan kini sedang menunggu dokumentasi penajaan dan bukti dana mereka.

Dalam perkembangan lain, FIB telah memberikan tempoh masa terakhir kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) serta Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat.

KDA FC dan KL City diarahkan untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac 2024 dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac 2024.

Kegagalan untuk membuat pembayaran seperti tarikh yang ditetapkan itu bakal mengakibatkan kedua-dua kelab Liga Super itu dikenakan sekatan perpindahan pemain berserta denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh FIB. - Stadium Astro