SEPANG: Permohonan peruntukan RM3.9 juta untuk tujuan pembangunan sukan hoki lima sebelah (5s) sepanjang tempoh lima tahun mulai tahun ini, akan dapat membantu pasukan negara menyediakan pelapis bagi persediaan menghadapi Piala Dunia Hoki 5s 2028.

Menyifatkannya sebagai satu perkembangan positif, jurulatih skuad hoki 5s lelaki negara Wallace Tan berkata peruntukan itu juga dapat digunakan bagi mempopularkan lagi permainan itu yang masih boleh dianggap baharu dalam arena sukan negara.

"Berita sangat baik, peruntukan yang bagus, boleh menarik ramai orang untuk meminati hoki 5s. Kita perlu mempopularkan sukan ini supaya ada pelapis dan peminat sendiri," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini, selepas pulang daripada kempen Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Oman.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang turut hadir menyambut kepulangan skuad hoki 5s negara itu berkata permohonan peruntukan itu dihantar kementeriannya kepada Kementerian Kewangan semalam.

Skuad hoki 5s lelaki negara muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s 2024 pada Rabu malam (awal pagi Khamis waktu Malaysia) selepas tewas 2-5 di tangan pasukan gergasi Eropah, Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.

Mengulas laporan media tempatan yang memetik Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal yang memaklumkan bahawa Wallace menolak elaun daripada KHM, beliau berkata perkara itu dibuat kerana tekad membantu pasukan negara beraksi cemerlang tanpa membebankan badan induk berkenaan.

"Sejak saya dengar pengumuman penganjuran Piala Dunia Hoki 5s 2024, saya memang tekad bantu pasukan Malaysia, itulah yang saya perlu buat," kata Wallace.

Subahan berkata skuad hoki 5s lelaki dan wanita hanya menerima elaun yang sedikit berikutan masalah dialami badan induk itu.

Skuad negara bagaimanapun tidak menunjukkan masalah menamatkan kempen piala berprestij berkenaan sebagai naib juara dengan kapten negara Mohamad Akhimullah Anuar Esook turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan selepas beliau berjaya meledakkan 11 gol sepanjang kejohanan berlangsung.

Mohamad Akhimullah berkata pasukannya sudah dididik untuk tetap berjuang bermati-matian dalam menggalas tanggungjawab sebagai pasukan negara di pentas antarabangsa meskipun memperoleh bayaran elaun yang sedikit.

"Elaun bukan masalah bagi kami sebab kami dididik bermain untuk negara, dari segi elaun dan dana kami tolak ke tepi, kami fokus kepada perjuangan dan setiap perlawanan," katanya.

-- BERNAMA