Ratusan ribu orang menandatangani sebuah petisyen atas talian meminta penganjur perlumbaan MotoGP menarik balik hukuman ke atas pelumba Yamaha, Valentino Rossi.

Petisyen bertajuk "Remove the penalty from Valentino Rossi and bring back integrity to the Championship" bertujuan mengembalikan integriti perlumbaan motosikal paling popular itu.

Setakat jam 2:50 petang tadi, lebih 320,000 orang sudah menandatangani petisyen itu.

Petisyen itu menyifatkan penalti menolak tiga mata dan menetapkan Rossi bermula di grid terakhir pada perlumbaan penutup MotoGP di Valencia adalah satu yang tidak adil.

Mereka menyifatkan Marc Marquez bermain kotor dengan sengaja menghalang Rossi menaiki podium untuk memberi laluan kepada pencabar yang lain untuk memenangi gelaran juara dunia.

Ramai yang percaya pihak penganjur terpedaya dengan taktik kotor dan tindakan sabotaj yang dirancang Marquez jika hukuman diteruskan.

Dalam perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Ahad lalu, Rossi dikenakan penalti selepas pengarah perlumbaan mendapati juara dunia 7 kali tersebut melakukan gerakan untuk menjatuhkan pelumba lain.

Pengarah perlumbaan tidak mempunyai bukti kukuh bahawa pelumba Itali itu menendang Marquez pada pusingan ketujuh, selekoh keempat belas, seperti yang didakwa.

Pengarah perlumbaan pula tidak menghukum Marquez kerana mendapati pelumba Sepanyol itu tidak melakukan apa-apa kesalahan semasa berlumba.

Sementara ada peminat Rossi semakin yakin bahawa insiden yang berlaku pada Ahad tersebut ada kaitan dengan pakatan dua pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo dan Marquez.

Pasukan Yamaha sudah membuat rayuan kepada pengarah perlumbaan namun ia ditolak sekaligus memaksa pasukan itu mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Dalam perlumbaan itu, Rossi mendapat tempat ketiga, Dani Pedrosa (Honda) muncul juara dan Lorenzo mendapat tempat kedua.

Ini bermakna Rossi masih mendahului kejuaraan dengan 312 mata, 7 mata di depan Lorenzo dengan baki satu perlumbaan musim ini.

Pusingan terakhir MotoGP akan berlangsung di Valencia pada 8 November.