KUALA LUMPUR: Kegagalan Malaysia mencapai misi layak ke perlawanan akhir Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura selepas terkandas seawal peringkat kumpulan, sesuatu yang sudah boleh dijangka.

Bekas pengendali skuad kebangsaan B. Sathianathan berpendapat, ia dipengaruhi kredibiliti skuad yang dibentuk Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe bagi menghadapi kejohanan dwitahunan itu.

Menurut beliau, terdapat perbezaan antara skuad kali ini dan skuad yang beraksi di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini, yang menyaksikan ketiadaan beberapa pemain utama dilihat menjadi penyumbang terbesar kepada kegagalan di Singapura.

"Ini bukan barisan terkuat. Kalau kita lihat sebelum COVID-19 kita main di pusingan kelayakan Piala Dunia banyak muka baharu. Tapi bila kita tukar muka-muka baharu yang bermain dengan agak baik dulu, terserlah kelemahan yang ketara.

"Dengan ketiadaan Matthew Davies, Corbin Ong (La'Vere Corbin-Ong), Azam (Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Sumareh (Mohamadou Sumareh) dan dengan tiadanya 'defensive midfielder' yang tulen, kita boleh nampak perbezaannya," kata beliau kepada Bernama, semalam.

BACA: Piala AFF: Perjuangan Malaysia berakhir di tangan Garuda

BACA: Piala AFF 2020: Cheng Hoe pertaruh pengalaman, ketenangan Dion Cools

Malaysia selaku naib juara edisi 2018, gagal melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2020 selepas menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga, di belakang Indonesia yang muncul juara kumpulan dan juara bertahan Vietnam di tempat kedua.

Skuad kebangsaan yang turut melalui tempoh persiapan singkat dan mencabar terutama dari aspek ketersediaan pemain, memulakan kempen dengan cemerlang apabila membenam Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan Vietnam yang merupakan juara bertahan 0-3 dan Indonesia 1-4.

Sathianathan pada masa sama melihat desakan yang timbul supaya Cheng Hoe melepaskan jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan ekoran kegagalan itu, sebagai satu bentuk penyelesaian jangka pendek.

BACA: Piala AFF: FAM ambil tanggungjawab penuh kegagalan Malaysia

BACA: Piala AFF: Misi wajib menang menentang Indonesia - Cheng Hoe

Beliau yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berkata tumpuan sewajarnya diberikan terhadap usaha mengenal pasti punca pencapaian mengecewakan itu, berbanding mencari kesalahan pihak tertentu.

"Untuk menunding jari kepada Cheng Hoe memang senang, tetapi sebagai jurulatih dia terpaksa pikul beban ini. Ia sesuatu perkara yang perlu ditempuh seseorang jurulatih.

"Sepatutnya kita mencari punca kegagalan bukan cari kesalahan, kita lihat graf prestasi pasukan negara menurun? Jadi di mana puncanya? Apa kelemahan utama? Adakah masalah itu berpunca dari bahagian pertahanan pasukan?," katanya.

-- BERNAMA