TERUJA? Berdebar?

Bukan hanya pemain, tetapi penyokong tegar skuad Harimau Malaya pastinya dibelenggu rasa yang berbolak-balik.

Antara teruja dan berdebar, menanti aksi pertama Harimau Malaya di pentas Piala Asia selepas penantian selama 43 tahun untuk layak secara merit.

Sekitar jam 1.30 pagi (waktu Malaysia), skuad kendalian Kim Pan-Gon bakal memulakan kempen Piala Asia dengan menentang Jordan, lawan yang berkedudukan lebih tinggi berbanding Malaysia.

Hakikatnya, kedudukan ranking pasukan dalam Kumpulan E sememangnya tidak memihak kepada skuad kebangsaan.

Jordan di ranking ke-87; Bahrain (86) dan Korea Selatan (23), manakala Malaysia pula ke-130 dunia mengikut FIFA.

Jika ranking yang menjadi ukuran, Malaysia memang ketinggalan.

Apatah lagi berdasarkan rekod pertemuan dengan Jordan, lawan pertama skuad negara awal pagi nanti, Malaysia tewas dua kali dan seri sekali.

Namun begitu, bola sepak bukan sekadar berkisar kepada ranking dan rekod pertemuan tetapi juga prestasi semasa.

Jika dilihat kepada prestasi semasa, cabaran skuad kebangsaan jangan diperkecilkan.

Skuad Harimau Malaya antara pasukan yang mempamerkan prestasi mengagumkan di bawah kendalian Pan-Gon.

Sejak Mac tahun lepas, skuad kebangsaan merekodkan tujuh kemenangan dan dua seri daripada 10 perlawanan termasuk ketika menentang pasukan dengan ranking lebih tinggi.

Berbeza dengan Jordan, yang tidak berada pada prestasi terbaik apabila sekadar merekodkan tiga kemenangan daripada 11 perlawanan kompetitif sebelum kempen Piala Asia di Qatar kali ini.

Situasi ini, meskipun tidak boleh menjadi sandaran sepenuhnya, namun sedikit sebanyak menyuntik optimisme dalam kalangan penyokong mengenai peluang skuad Harimau Malaya.

Jika skuad negara mahu menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik, tiada jalan selain menang aksi pertama kempen Piala Asia ini untuk membina momemtum ke perlawanan seterusnya.

Tidak dinafikan memang sukar, apatah lagi, selain rakyat Malaysia, tiada 'pihak luar' yang menjangkakan Harimau Malaya mampu mengatasi Jordan.

Namun, bola sepak ini unik, tiada yang mustahil, banyak kisah pasukan yang lebih kecil mampu menumbangkan lawan lebih besar.

Percaturan genius daripada Pan-Gon ditagih; ketajaman Darren Lok, Paulo Josue diharapkan; kelicikan Arif Aiman dan Faisal Halim didamba; kekentalan Brendan Gan, Dian Cools, Matt Davies jadi sandaran; dan kecekapan Syihan amat diperlukan.

Dan ramuan ini menjadi harapan penyokong Harimau Malaya, rakyat Malaysia keseluruhannya untuk melihat skuad kebangsaan mencipta kejutan awal pagi nanti.

Menang dan bermula dengan langkah kanan.

Ayuh Harimau Malaya!