Jaringan cantik daripada ayam tambatan Argentina, Lionel Messi memberi tiga mata berharga kepada skuad Amerika Selatan itu ketika menentang Bosnia-Herzegovina dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA 2014 Kumpulan F di Estadio do Maracana di Rio de Janeiro di sini awal pagi tadi.

Bosnia-Herzegovina yang membuat penampilan sulung dalam pentas Piala Dunia selepas berpisah daripada Yugoslavia dilihat begitu bersemangat untuk mencari gol awal dengan melakukan asakan sebaik wisel sepak mula dibunyikan.

Namun, keghairahan Bosnia-Herzegovina mencari gol pertama Piala Dunia itu tersekat apabila serangan balas Argentina memerangkap pertahanan Bosnia sehingga menyebabkan sepakan percuma Lionel Messi tertampan masuk oleh pertahanan Bosnia-Herzegovina, Sead Kolasinac untuk memberi kelebihan kepada Argentina.

Namun begitu, tempo permainan kedua-dua pasukan pada babak pertama dilihat banyak berhati-hati dengan kedua-dua pasukan saling berbalas-balas percubaan ke gawang gol tanpa banyak cubaan berbahaya.

Argentina
(AP Photo/Thanassis Stavrakis)
Sehinggalah minit ke-65 separuh masa kedua, Lionel Messi membuat satu gerakan satu-dua yang menarik dengan pemain gantian, Gonzalo Higuan melepasi pertahanan Bosnia-Herzegovina sebelum merembat ke penjuru pintu gol Bosnia-Herzegovina menewaskan penjaga golnya, Asmir Begovic.

Bosnia-Herzegovina akhirnya berjaya mendapat gol perdana Piala Dunia dan juga gol saguhati perlawanan melalui penyerang berbisanya, Vedad Ibisevic.

Satu lagi perlawanan Kumpulan F antara Iran dan Nigeria akan berlangsung pada jam 3 pagi (waktu Malaysia) ini.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Angel di Maria (Argentina)