LEBIH 200,000 peminat telah menandatangani petisyen agar perlawanan akhir Piala Dunia 2022 antara Perancis dan Argentina diadakan semula.

Argentina dinobatkan sebagai pemenang minggu lalu, menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 3-3 dalam perlawanan yang penuh mendebarkan.

Kylian Mbappe menjadi pemain pertama yang menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia sejak Sir Geoff Hurst pada 1966 tetapi ia tidak cukup untuk menghalang Argentina menjulang trofi.

Ketika Argentina masih meraikan kejayaan mereka, sebuah laman web Perancis, MesOpinions mendesak agar perlawanan semula diadakan.

Alasan utama ialah gol pembukaan Messi menerusi sepakan penalti selepas Ousmane Dembele mengasari Angel Di Maria pada separuh masa pertama.

Mereka yang mahukan perlawanan semula menegaskan pengadil, Szymon Marciniak tersilap menghadiahkan sepakan penalti itu, malah mendakwa Mbappe dikasari sebelum gol kedua Argentina yang dijaringkan oleh Di Maria.

Walaupun Perancis bangkit hasil jaringan berganda Mbappe, Kingsley Coman dan Aurélien Tchouaméni gagal menyempurnakan sepakan mereka dalam penentuan penalti, sekaligus menobatkan Argentina sebagai juara buat kali ketiga.

Sebilangan peminat Perancis juga merasakan bahawa gol Messi pada masa tambahan sepatutnya dibatalkan kerana terdapat pemain yang telah masuk ke dalam padang sebelum bola menerjah gawang.