PERSEMBAHAN menakjubkan Lionel Messi di Piala Dunia Qatar 2022 'menunjukkan evolusi sukan bola sepak', menurut bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Wenger membuat pemerhatian itu semasa bercakap bersama legenda Jerman, Jurgen Klinsmann, pada sidang akhbar untuk Kumpulan Kajian Teknikal FIFA.

Kejohanan di Qatar telah menyaksikan beberapa pemain yang lebih tua tampil dalam peranan membintangi pasukan kebangsaan mereka, dengan Lionel Messi yang berusia 35 tahun bersedia untuk mengetuai pasukan Argentina menentang Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

Luka Modric, 37 tahun, menyerlah bersama Croatia apabila mereka mara ke separuh akhir, manakala Olivier Giroud kemungkinan akan mengetuai barisan untuk Perancis malam ini Ahad setelah memecahkan rekod Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa Les Bleus pada usia 35 tahun.

Sementara itu, Jude Bellingham yang berusia 19 tahun menjadi penggerak England ke suku akhir dan Kylian Mbappe, pada usia 23 tahun, boleh menjadi pemain termuda memenangi dua perlawanan akhir Piala Dunia sejak Pele jika Perancis mengatasi Argentina.

Wenger berasakan Piala Dunia kali ini menunjukkan bagaimana sukan bola sepak semakin maju, dengan teknologi baharu membantu peserta memanjangkan kerjaya mereka.

“Saya mengendalikan [Arsenal] pada 2006 menentang Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan Messi sudah mula bermain,” kata Wenger pada sidang media.

“Itu 2006, kita berada di 2022 -- 16 tahun kemudian dan dia masih bertanding untuk menjadi pemain terbaik kejohanan itu.

“Kejohanan ini menunjukkan evolusi sukan bola sepak moden.

"Kejohanan ini adalah kejohanan pemain muda yang bersedia lebih awal dalam sukan peringkat tertinggi, dan juga kejohanan pemain yang bertahan lebih lama berbanding sebelum ini.

“Kami tidak pernah menyaksikan Piala Dunia dengan pemain berusia 35 tahun menjadi dominan, tetapi kami mempunyai Giroud, kami mempunyai Messi, Modric, pemain dominan pada kejohanan ini.

"Ia menunjukkan bahawa di sebalik semua perkara negatif tentang kesihatan dan kebajikan pemain, kehidupan ahli sukan peringkat tinggi bertahan lebih lama. Mereka bersedia lebih awal dan mereka tamat kemudian." - Stadium Astro