KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman FC (KDA) FC membuktikan status bergelar penyandang kejuaraan Piala FA 2019 sukar digugat, apabila mudah menewaskan Sains FC 4-0 dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Anak buah ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak mula menerobek gawang gol skuad Liga M3 itu seawal minit ke-18, menerusi jaringan Mohd Fayadh Mohd Zulkifli Amin untuk meletakkan pasukan di depan.

Tidak mahu terhenti di situ, Kedah menunjukkan taringnya apabila Mohd Fayadh sekali lagi meletakkan jurang pemisah, selepas menyumbat gol kedua buat dirinya dan pasukan pada minit ke-46 separuh masa pertama.

Babak kedua bersambung, giliran Mohammad Amer Azahar pula meledak gol bagi meletakkan Kedah dalam keadaan selesa menerusi jaringan pada minit ke-50.

Sains FC bagaimanapun terus dihukum apabila Mohammad Amer sekali lagi menjaringkan gol selang sembilan minit kemudian, dan keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Dalam pada itu di KOTA KINABALU, Sabah FC berhasil memanfaatkan kelebihan berlawan di halaman sendiri dengan menumpaskan Respect FC 2-0 dalam aksi di Stadium Likas, malam tadi.

Sabah dibimbing ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee tidak mensia-siakan peluang untuk melangkah selesa ke pusingan kedua Piala FA, selepas jaringan sulung pemain tengah Ummareng Bacok pada minit ke-50 menerobos gawang gol skuad Liga M3 itu.

Penguasaan The Rhinos terus dinoktahkan selepas pemain pertahanan Nazirul Naim Che Hashim, menyudahkan hantaran cantik daripada pemain import Park Tae-soo dari Korea Selatan pada minit ke-85.

Dua aksi pusingan pertama Piala FA sahaja berlangsung pada malam tadi selepas perlawanan di antara Melaka United dan PIB FC, dijadualkan berlangsung di Stadium Hang Jebat di Paya Rumput, Melaka terpaksa ditunda ke tarikh baharu berikutan kes penularan wabak COVID-19 dalam pasukan.

-- BERNAMA