Perlawanan akhir Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam pada 20 Mei ini, bakal menyaksikan pertembungan di antara juara tiga kali Kedah dan juara dua kali Pahang.

Kedah mara ke final selepas membenam Terengganu 3-0, pada aksi separuh akhir kedua, sekaligus mencatatkan kemenangan agregat 4-0, manakala Pahang pula melangkah ke final dengan kemenangan agregat 3-1 ke atas Negeri Sembilan, selepas menang 2-1 malam ini.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, walaupun turun dengan kelebihan satu gol, Kedah bermula garang dengan menjaringkan gol seawal minit keempat menerusi pemain import dari Albania, Liridon Krasniqi.

Skuad Penyu yang melakukan serangan bertali arus ke atas kubu Kedah, gagal mencari gol penyamaan, malah kealpaan di bahagian pertahanan pasukan itu dihukum menerusi jaringan pemain import dari Denmark, Kenilson Larsen pada minit ke-28.

Skuad Helang Merah yang merupakan juara edisi 1996, 2007 dan 2008 mengesahkan penampilan kelima di pentas final Piala FA apabila penyerang import dari Brazil, Sandro Da Silva Mendonca bijak memperdayakan penjaga gol tuan rumah, Amirul Hakimie Awang pada minit ke-47 untuk menjaringkan gol ketiga pasukan itu.

Sementara itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Pahang turut meraih jaringan awal apabila Heo Jae-Won menanduk masuk bola hantaran Ahmad Syamin Yahya pada minit keenam.

Tersentap dengan jaringan itu, jentera serangan pasukan tuan rumah terus melakukan serangan demi serangan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi pemain import dari Jepun, Bruno Junichi Suzuki Castanheira pada minit ke-67.

Skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh bagaimanapun berjaya meningkatkan jurang pada minit ke-90 menerusi D. Christie Jayaseelan untuk meraih kemenangan agregat 3-1.

Untuk rekod, Pahang merupakan juara Piala FA pada tahun 2006 dan 2014, manakala bagi edisi 1995, skuad Tok Gajah tewas 1-3 kepada Sabah.

Pada aksi final yang akan bermula pada pukul 9 malam itu, Pahang akan turun selaku tuan rumah, manakala Kedah selaku pasukan pelawat.

-- BERNAMA