KUCHING:Pendatang baharu saingan Piala Malaysia, Kuching FA berazam untuk mencipta satu lagi kejutan selepas layak ke pertandingan bola sepak terulung negara itu.

Skuad Warga Kota itu sebelum ini mencipta sejarah apabila mara ke perebutan Piala Malaysia apabila mengakhiri saingan Liga Premier di kedudukan kelima hasil kemenangan 2-1 ke atas Johor Darul Takzim 2 (JDT2) di Stadium Kuching pada 4 Oktober lalu.

Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman berkata kejayaan itu bukan mudah kerana diharungi dengan penuh cabaran terutamanya apabila seorang pemain kelab itu yang juga kakitangan Hospital Sentosa disahkan positif COVID-19.

"Cabaran paling besar yang dihadapi pasukan kami adalah ketika salah seorang daripada pemain kami disahkan positif.

"Kami terpaksa menjalani kuarantin 14 hari, ada yang 16 hari, dan ada yang 18 hari," katanya.

Jelas Fazzrudin, selepas tamat tempoh karantin pasukannya hanya ada tempoh kurang seminggu untuk meneruskan baki saingan Liga Premier.

"Sudah tentu keadaan pasukan masa itu belum cukup bersedia, sebab itu perlawanan pertama dan kedua selepas PKP agak mengecewakan sedikit," ujarnya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Kuching FA, Mohd Sharizan Sahari menganggap tiada tekanan buat pasukannya ketika ini kerana sasaran untuk mara ke Piala Malaysia telahpun tercapai.

Namun Kuching FA tidak rela melepaskan peluang untuk melakar satu lagi kejutan dalam perebutan piala paling berprestij dalam dunia bola sepak Malaysia itu.

"Apabila kita berada di bawah pemain tidak tertekan.

"Sebaliknya ia menaikkan moral pemain untuk bangkit dan mengutip mata penuh dalam beberapa perlawanan sehingga layak ke Piala Malaysia," kongsinya.

Pendapat sama dikongsi penyerang sensasi Kuching FA, Joseph Kalang Tie yang menyifatkan pencapaian cemerlang pasukan itu setakat ini dibantu kerjasama sepasukan dan sokongan padu penyokong.

"Tekanan itu tiada malah kami amat berbangga apabila Kuching FA layak ke Piala Malaysia.

"Ini bonus buat kami dan siapa tahu kalau kami boleh pergi lebih jauh lagi," ujarnya.

Saingan Piala Malaysia 2020 akan bermula pada 25 dan 26 Oktober 2020 dengan perubahan dari segi format berkutan pandemik COVID-19.

16 pasukan yang layak beraksi terdiri daripada 11 pasukan Liga Super, dan 5 pasukan Liga Premier.