SEREMBAN: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih bekalan selesa apabila membenam juara tiga kali Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, di sini, malam ini.

Skuad Harimau Selatan bermula garang apabila penyerang import dari Brazil, Bergson Da Silva membuat percubaan tepat ke arah gawang tuan rumah pada minit ke-14, namun berjaya ditepis penjaga gol Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

JDT, bagaimanapun, tidak mengambil tempoh lama untuk membuka jaringan menerusi rembatan deras Arif Aiman Mohd Hanapi dari luar kotak penalti pada minit ke-20.

Kesilapan pemain pertahanan NSFC, Nasrullah Haniff Johan menjatuhkan Bergson dalam kotak penalti, membawa padah apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti.

Bergson dengan mudahnya menyudahkan sepakan itu untuk mengandakan jaringan pada minit ke-31.

Skuad kendalian K. Devan hampir merapatkan kedudukan tiga minit kemudian, namun tandukan R. Barathkumar berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Bersambung babak kedua, anak buah kendalian K. Devan meningkatkan intensiti permainan dan terus melakukan beberapa percubaan ke arah gawang JDT, namun usaha itu ternyata sukar apabila JDT mendominasi hampir keseluruhan permainan.

Pada masa kecederaan (90+1), Bergson menambah derita skuad tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti untuk meletakkan JDT selesa di hadapan dengan kelebihan tiga gol.

Suku akhir kedua di antara kedua-dua pasukan itu dijadualkan pada 23 Sept ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

-- BERNAMA