KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan FC muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan, selepas menundukkan tuan rumah Kuala Lumpur (KL) City FC dengan jaringan 2-0.

Pada aksi mendebarkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Negeri Sembilan membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi pemain import dari Brazil Matheus Alves Leandro.

Skuad Hobin Jang Hobin kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-90, menerusi sepakan penalti pemain import dari Perancis Herold Goulon.

Negeri Sembilan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 selaku juara, manakala KL City pula menerima sumbangan bernilai RM1.5 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa serta Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

Terdahulu peminat skuad 'The City Boys' itu turut meraikan kemenangan Piala Malaysia 2021 bersama KL Legends menerusi perarakan di sekitar stadium keramat itu.

KL City kendalian Bojan Hodak muncul juara selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT FC) 2-0 pada ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, tahun lepas.

Sementara itu, pasukan veteran X-Selangor mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tuan rumah KL Legend dalam Piala Juara Lembah Klang petang semalam.

-- BERNAMA